Pages

Showing posts with label Durrah2. Show all posts
Showing posts with label Durrah2. Show all posts

Monday, November 7, 2011

Lahir & Mati

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Saya menuruni tangga bertutup marmar putih berkilat dengan senang hati. Penuh teliti agar tiada langkah yang silap. Keropok 'Buggle' sudah bertukar tangan. Saya kembali kepada 'hati-hati yang kental', khusyuk bersentuh dengan empuk-empuk sofa. Kehadiran saya disambut dengan kesunyian. Kesenyapan. Hanya beberapa pergerakan di atas sofa menangkap pandangan saya. Semua menuju kepadanya, sebahagian lagi menunduk ke bawah.

terus senyuman saya undurkan. Minda berfikir apakah yang telah berlaku.
Bukankah baharu sebentar tadi kita ceria dan gembira?


********
30 minit sebelum~

Kesejukan hampir menyelubungi satu badan. Walaupun ia belum sampai tahap sejuk berdarjahkan satu angka, kesannya sudah terasa. 3 pasang mata terus menyelusuri jalan-jalan di perbukitan,menikmati kehijauan yang jarang-jarang dapat dinikmati di bumi berpasir ini. Kereta pacuan 4 roda terus menggeser tar-tar hitam, menembus udara-udara sejuk yang menampar-nampar.


  Saya menceritakan perbualan di telefon sebentar tadi kepada si driver setia.

"eh,...bila hari lahir awak?" , tanya si driver penuh innocent. 

Saya menjawab sambil diiringi gelak kecil. Rakan di belakang meng-iya-kan jawapan saya.
Selain saya, ada 2 orang lagi yang join the club. Seven-eleven.

"oh..yeke?..emm..tak cukup ukhuwwah lagilah kita ni."


semangat mereka ingin membeli kek. Tetapi akhirnya tak jadi sebab tiada pilihan yang berkenan.
Kami meneruskan perjalanan melalui lorong-lorong yang sedikit simpang-siur. Ala-ala Cameron Highland.
Alhamdulillah selamat tiba di perkarangan rumah mewah sementara itu. Terus disambut dengan cerianya oleh hati-hati kental yang sedari tadi bekerja menyediakan satu ruang yang bersih dan kemas untuk hati-hati lain datang bertandang. Kesian, semuanya menahan lapar. Rezeki dari Allah telah datang. =)


Seketika masa menikmati pembekal-pembekal nutrisi (err..jajan bagi nutrisi?) untuk sekujur tubuh terus bekerja. Gembira dan gembira. Tapi, memang manusia ini diciptakan dengan fitrah bukan? Tidak sesaat mahu dibiarkan terlarut dek pesonanya rezeki-rezeki dunia. Pasti ada naluri hati yang menyentap buat mereka yang mahu berperang dengan diri sendiri. Bak kata pakcik Ar-Rasyid;

"Tenang dalam diamnya, 
tetapi lebih jelas dari orang yang berbicara.
Bila diamnya terlalu lama,
tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak." 

[masyaAllah...suka sangat quote ini]


Si driver setia memberi ruang untuk sesiapa yang ingin berkongsi tentang tazkirah Adha istimewa semalam.  Mengupas erti pengorbanan agung Ibrahim a.s dan Ismail a.s. Indah bila duduk untuk berkongsi, lebih indah bermakna bila ia membawa kepada mengenali Tuhan kita. =) kan ini tamsilan taman-taman syurga, seperti yang disebut Ar-Rasul s.a.w~


[syurga tidak bisa digambarkan..]


Dan di sudut itu, saya melihat jiwa-jiwa yang merendah. Merendah hati pada manusia, tetapi tinggi sekali di sisi Allah. InsyaAllah.
Orang yang kata tiada ilmu berkongsi,
orang yang kata ada ilmu berkongsi,
orang yang rasa-rasa macam kurang ilmu berkongsi,
orang yang rasa-rasa macam banyak ilmu tapi tak faham sangat berkongsi..


Tiada kasta,
tiada tinggi, tiada rendah,
hanya rasa yang sama untuk melihat Islam itu indah.


hati-hati saling mengenal apa yang dirasa bersama, sehingga si driver melontar suatu persoalan

"siapa nak share perkara paling manis dia pernah lalui tentang pengorbanan? eh..maksudnya cerita pengorbanan yang dia rasakan..."

bila respon yang lain semua sunyi, si driver memulakan dulu. Pada saat itulah, suasana menjadi sunyi, Penuh kesenyapan. Hanya tangan yang mengesat menggambarkan kisah. Baharu saya tahu, pada hari raya kedua aidiladha merupakan ulang tahun pemergian bonda si driver. (saya juga tidak cukup ukhuwwah lagi dengannya.) Tangisan mengiringi ceritanya. Kisah yang datang dari hati, turut mengesan 'hati-hati kental' yang lain untuk merasa kesedihan yang sama. Tingginya pengorbanan ibu si driver digambarkan dari air matanya yang mengalir laju.

walaupun si driver tidaklah menceritakan penuh terperinci, tapi cukuplah ayat  "kita ada kat sini pun dari pengorbanan mak ayah kita..banyak sangat diorang dah korbankan..". Si driver yang sangat charismatic dengan sifat ceria dan popular sanguinenya, kini membuat saya haru. Merasa bersalah pula, baru sebentar tadi ceria-ceria bercerita birthday2...tidak tahu hari ini juga merupakan hari sedihnya. Tabah sungguh si driver setia, meredah penat hari ini sedangkan malam semalam berlenguh-lenguh kaki dengannya dari Hijazi ke Syimali hampir satu hari.

*****

benar..tiap-tiap tahun kita mendengar berbagai tazkirah, ceramah AidilAdha,..mengupas dengan hebat kisah agung Nabi Ibrahim a.s dan anaknya. Tiap-tiap tahun, bertukar-tukar ustaz/ah kita dengar. Berganti-ganti masjid dan dewan kita pergi.


tetapi, kita hanya akan betul-betul merasa..
dan mengetahui erti pengorbanan itu..
bila kita meRASA SENDIRI.
LALUI SENDIRI..
terjadi pada diri sendiri.


apa yang kita tahu mungkin akan pergi dan hilang,
tapi apa yang kita lalui..selalunya akan melekat sampai bila-bila.
itulah beza orang yang diberitahu dan kata faham
dengan orang yang merasa sendiri dan kata faham.


kisah Nabi Ibrahim serta Ismail a.s anaknya bukan hanya berputar pada cerita yang sama, ('penyembelihan' Nabi Ismail yang akhirnya diganti dengan seekor kibasy),
tetapi LEBIH dari itu...
* rujuk surah Al-An'aam (antrnya).



Alhamdulillah, di tarikh hari lahir saya ini...
banyak pula tazkirah berkisar kematian yang diberi (plus tazkirah lepas zohor tadi),
antara bahagia dan teruja dan takut dengan risau,
saya semakin mendekati saat pertemuan denganNya.

rasa terima kasih tak terhingga pada ibu ayah yang melahirkan dan membesarkan saya. Eh...adik-beradik yang membantu membesarkan saya. Juga orang-orang di sekeliling yang melengkapkan hidup saya.=)

Doakan semuanya kheir lillahi taala.~
^_^



Perbukitan Ajloun,
Jordan.
tengahari + petang

Saturday, February 19, 2011

Syukran (terima kasih)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Lidah terkelu
Walau hati diketuk-ketuk
Untuk berkata sesuatu
Tapi terhenti di pinggiran

Bungkam tanpa nafas huruf
Yang terkeluar dari dua bibir yang tertutup
Hanya mengukir senyuman
Gambaran hati sarat perasaan

Hanya mampu mengucap
di dalam hati
TERIMA KASIH.
^^. T T





Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
(Surah Ar-Rahman: 16)

.Alhamdulillah.


Bayt Fateh
10:**
[mode: belajar sesuatu]

Sunday, July 25, 2010

Huna

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Alhamdulillah, mengambil sedikit kesempatan waktu untuk melampiaskan kerinduan menulis.Saya mahu menulis tapi tak tahu apa nak ditulis. Pelik? Blind spot. Tak tahu bukan bermaksud tidak ada..tapi tak tahu kerana terlalu banyak benda untuk dicerita..Macam-macam.Suatu benda yang saya tak mampu nak cerita dalam satu malam..malah mungkin 10 tahun. (hiperbola je ni). Sungguh betul kata guru saya, medan di sini sangat lain.

Belajar berbagai seni.

Belajar mengenali manusia.
Belajar macam-macam cara.

Belajar suatu yang belum dipelajari.

Nanti saya cerita..insyaAllah. =).
(hehe...maaf tertunda lagi, astaghfiruLLAHaládzhim)

Wassalam

Dorm D-*-*,
Pusat Asasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Kampus Nilai.
~lewat malam~

Monday, May 17, 2010

Mahkamah Hati

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


(*Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..sekadar mengisi 'hati blog' yang menagih kata bicara. Berkongsi pengisian hati suatu tika yang dipendam lama. Hanya buka-taip balik untuk berkongsi ini,maka sudilah memaafi sekalipun bukan tinta sendiri.*) 

Bukankah kita sering diperingatkan,berani kerana benar,takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus-menerus melakukan kesalahan. Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan,apatah lagi bersalah kepada Allah.


Mahkamah pengadilan itu ada tiga.
Pertama:- Mahkamah di dunia. yang mana saksi,pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang,dengan kebijaksanaan dan kelicikan,mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang brsalah terlepas,sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru,masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung seriong bolos, bilis sahaja sering digilis.


Kedua:- Mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah Yang Maha Adil. Di sana nanti,yang benar akan menang, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Ketika itu,tidak payah didatangkan saksi ataupun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan 'hidup' untuk menjadi saksi.Kulit,tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya body yang kita jaga,elus dan belai kini,akan mendakwa kita di Mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki.


Ketiga:- ialah Mahkamah hati. Saksi,pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya.Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrah sucinya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan jika tidak terus-terusan diabaikan.


Ya,dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia,tetapi tidak mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri. Kita mungkin mampu menipu manusia,tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi,ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setiap masa,setiap ketika dan di setiap suasana,hati kecil akan bersuara. Ia tidak akan tega dengan kesakitan,tidak rela dengan kemungkaran.






Dosa itu derita kerana dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa,hakikatnya kita melakukan dua 'perlanggaran'. Pertama,pelanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua,perlanggaran terhadap Allah,zat yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.


Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah,yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah yang sukakan kebaikan itu disubur,dididik dan dipimpin,maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya jika fitrah yang baik itu dibiarkan,diabaikan apatah lagi jika ditentang,maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan. Jadi,jagalah hati agar hati itu tidak mati!.


Rasulullah s.a.w sangat arif tentang hakikat ini. Justeru,apabila baginda ditanyakan,apakah itu dosa? Baginda menjawab:

"Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya."


Oleh itu,awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan-lahan atau mendadak. Mujurlah dosa itu tidak berbau,jika tidak...tidak akan ada sesiapa yang sudi mendekati kita. Justeru,sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati! Dan sentiasalah percaya di mahkamah hati itu,Allah sentiasa dekat denganmu,sekalipun bila bersendirian...




(Sumber: Di Mana DIA Di Hatiku? , Pahrol Mohd Juoi, Alaf 21)


Sunday, May 9, 2010

Saya,Kita dan Mereka

 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pertama sekali,saya minta maaf kerana begitu lama tidak mengupdate blog.Minta maaf kepada yang berulang kali membuka blog,mungkin sekali hampa melihat tiada yang baru. Maka hari ini,saya ambil masa pagi untuk berkongsi sesuatu dengan anda. Cuma cerita biasa yang berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari..bagi siapa yang rasa diri dia rakyat Malaysia. heheh~ 

(hehe,popular budak ni..)

Selama lebih kurang 3 bulan cuti ini (sejak habis SPM hingga sekarang),banyak sungguh pengalaman baru saya. Sejak 16 Disember 2009 hinggalah tarikh hari ini 12 Mac 2010,ia mengenalkan saya untuk lebih memahami liku-liku hidup yang sangat banyak ranjau berduri..,insyaAllah,alhamduliLLAH..tapi 3 bulan nak fahami hakikat hidup? memang mustahil.Tetapi saya sangat bersyukur diberi peluang merasa pengalaman-pengalaman yang baru...sekurang-kurangnya baru buat saya. Marilah saya ceritakan salah satu perjalanan saya dalam tempoh 3 bulan ini.


KENAL-KENAL

 Cuti ini saya sempat menambah 2 kenalan baru.Dua je,tak banyak tapi dua ini yang istimewa. Sebab 2 kenalan baru saya ini merupakan non-muslim,mereka berdua berbangsa Cina. Maklumlah,saya belum pernah merasa bercampur gaul dengan pelbagai bangsa secara meluas. Pelajar yang bersekolah di sekolah kebangsaan pasti sudah terbiasa,manakala saya pula baharu mahu berjinak-jinak. Dahulu masa baru tamat UPSR,mak saya pernah kata nak masukkan saya ke sekolah kebangsaan. Bila ditanya kenapa,mak kata mahu saya ada pengalaman bercampur dengan pelbagai bangsa. Tetapi, dengan keadaan diri saya waktu itu yang tak matang dan sangat nakal, saya rasa lebih baik dan selamat untuk kekal di sekolah lama saya yang memberi pulangan tarbiyyah dan pembetukan akhlak yang mapan. Pendek kata,mungkin saya belum sedia. 


Akhirnya, takdir Allah menempatkan saya dalam bi'ah (suasana) yang solehah sehinggalah tingkatan 5. Alhamdulillah,tarbiyyah yang begitu berharga tiada nilai bandingnya. Moga saya dapat kekalkan itu. 11 tahun dalam lingkup lingkaran tarbiyyah,saya berharap Allah beri kekuatan pada saya untuk terus istiqamah walaupun persekitarannya kini sangat berbeza. Sangat sangat berbeza..



Berbalik cerita tentang mereka,..bagaimana saya kenal mereka?  Bermula di sekolah memandu. Jurulatih saya juga adalah seorang pakcik Cina dalam lingkungan 50-an yang lebih senang dipanggil 'Uncle'.Dua orang rakan saya itu turut menimba ilmu jalan raya dari Uncle ni. Saya senang dengan mereka sebagaimana mereka juga senang dengan saya. Berbeza agama tak membataskan kami untuk bercerita dan berbual bersama.



Uncle ini ramah orangnya,mudah belajar dengan dia.Kalau kena marah,kena sound,kena tegur..hehe,itu biasalah.Suatu yang saya senang,bila Uncle marah-marah,kemudian lepas tu pasti dia akan cuba mengneutralkan keadaan balik dengan cerita-ceritanya..AlhamduliLLAH,tiada tensitension.



Uncle tersebut juga saya kira dia seorang non-muslim yang mengetahui nilai-nilai murni yang baik. Maksud saya,mungkin ada yang suka berjudi,minum arak,pergi pub dan sebagainya..tapi Uncle kata,dia tak suka benda-benda itu semua.Kalau ada majlis-majlis,dia hanya minum sikit je. [waktu ni,saya fikir2 je macam mana rutin hidupnya?] Uncle juga seorang yang suka memberi analogi. Bila memandu,sambil dia terang pada saya..sambil dia bagi macam-macam analogi.Saya ingat dia cakap:



"kita mesti mau bagi analogi boleh fikir...betol ka dik?"

"ini line..you masuk lorong ni,you selamat la..dia macam satu benteng lindung you. You masuk,kereta lain nampak,mereka takde kacau punya.."

[hehe]



Jika dengan Uncle,setiap kali sesi belajar..pasti akan ada benda yang kami bualkan. Kalau keadaan menjadi senyap,saya cuba cari-cari soalan untuk ditanya pada Uncle. Selalunya,Uncle ini semangat cerita tentang famili dia. Begitu semangat sampai kadang-kadang,saya rasa hampir hilang fokus pula ketika memandu..hu,bahaya~ Saya juga ambil peluang ini untuk mengetahui hidup masyarakat Cina,kepercayaan mereka dan budaya mereka. Semuanya melalui kata-kata Uncle yang petah bercakap dan suka berkongsi.


Ada ketikanya,kami masuk bab tentang agama dan budaya. Pernah sekali Uncle bercakap tentang pengharaman arak dan judi dalam Islam. Bila berhadapan dengan situasi ini,kita yang Muslim kalau boleh mesti jawab dengan jawapan yang terbaik,yang mampu menjelaskan kedudukan hal tersebut dalam Islam dengan sejelasnya dan sebaiknya.


Kalau saya mahu cerita tentang ini,memang panjang. Tapi,cukup saya kata..salah faham terhadap Islam sangat berleluasa. Parah jika dibiarkan. Dalam saya menulis ini,sebenarnya saya juga berkata pada diri saya sendiri. Dahulu saya fikir mudah,kalau ada non-muslim yang konfrontasi..cerita sahajalah apa yang Islam ajarkan.Tapi bila saya berada di posisi yang di mana situasi itu benar-benar terjadi..,hah,minda sana-sini mencari kata dan analogi yang sesuai diberi. Kita cakap tak boleh pakai taram je macam jawab soalan SPM. Sebab mereka akan bertanya balik,tanya tanya dan tanya.
...............







~bersambung~




[moga saya dapat sambung cepat.. ]




p/s: nanti sambungan akan dibuat dalam ruang post ini jugak..bukan tajuk bersiri yeh. Sekian,terima kasih.

Monday, May 3, 2010

Kamu, bersabarlah!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Lalu, diam itu jugalah penyelesaian paling sejahtera untuk menjernihkan keadaan.
Teringat saya kepada sebuah peristiwa di zaman Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ’sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.
Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.” [ Hadith riwayat Abu Dawud]




Diam bukan mengalah.


Ia cara mencari Rahmah.


Mendekatkan diri kepada Allah.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Wednesday, March 17, 2010

Bercakap Biar Indah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


sumber- http://rumiahmed.files.wordpress.com/20...ogue.jpg


Selagi nadi masih berdenyut,jantung masih gigih mengepam darah dan otak masih ligat berfungsi..maka Alhamdulillah,seluruh organ-organ turut berfungsi dengan izinNya. Namun,kita selalu terlupa,kita ada tanggungjawab terhadap apa yang Allah beri ini dan mereka juga ada hak-haknya yang perlu ditunaikan.



عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: (( مَنْ آَانَ یُؤْمِ نُ
بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ،
وَمَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ )) رواه البخاري ومسلم.
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jirantetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah diamemuliakan tetamunya.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.




Mungkin kita masih tidak berat dan boleh berhati-hati dalam mengemudi mata,perut,tangan dan telinga..alhamdulillah jika begitu. Kalau terbabas, kesannya lebih banyak pada kita. Tetapi lisan sering kali kita terlepas pandang dan terkurang perhatiannya.Entah kenapa,terasa susah dikawal dan dijaga. Sangkaan kita rasanya ok, tapi tidak sedar ada yang terasa.


[1 Mei 2009] Usai solat Maghrib dan membaca Ma'thurat, kami rapat ke tirai yang memisahkan banin  (pelajar lelaki) dan banat (pelajar perempuan) untuk mendengar kulliyah Mahgrib yang disampaikan seorang ikhwah (lelaki). Antara penat dan tidak, ada mata yang bulat ada mata yang kuyu. Penat dan tepu mungkin. Tajuk yang disentuh berkisar tentang Tazkiyyatun Nafs (penyucian diri), 'Mengatur Lisan'. Isinya ada yang 'membakar' diri. Malam itu, siap ada rakan saya yang down apabila mendengar tazkirah tersebut. Semoga Allah Memberi hidayah dan taufik kepada kita.




[sedang menyelak buku catatan~ hehe.]




Dalam bicara-bicara kita, ia sebenarnya berkisar 4 perkara;


  1. Ada bahaya semata-mata
  2. Ada manfaat semata-mata
  3. Bahaya juga manfaat
  4. Langsung tiada bahaya,langsung tiada manfaat.
Dalam 20 bencana lisan yang diceritakan (yg ke-20 'paling bencana'), berkata-kata yang tak perlu menduduki tangga no 1. Rasa lega? Tidaklah patut kerana ia sudah termasuk jua dalam bencana. Andai kita adalah orang terakhir dalam senarai nama yang mendapat biasiswa,maka tetaplah kita akan gembira. Samalah juga hal ini ia tetap termasuk dalam 20 bencana , maka bimbang-bimbanglah kita pada bencana ini.






Ada masa kita berborak gembira dengan rakan-rakan. Berbincang hal macam-macam. Dari satu cerita meleret ke cerita lain. Jika ceritanya sama cerita bagus, pasti bermanfaat untuk kita. Tetapi sadisnya,andai dari bual-bual angka 1000 berpindah ke bual-bual angka 0..hilang nilai di hadapannya,jauh kita tak sedar. Termasuk pula tentang perkara yang sia-sia. Kita sering begini. Sama ada menggunakan suara atau tulisan (cth; komen-komen bernilai kosong di laman sosial)


Dalam kita bergurau dengan rakan-rakan,kita sebolehnya mahu bermesra dengan dia. Senda tawa tambah bicara,mengeratkan lagi hubungan kita bersama. Tetapi jangan sampai tersalah langkah. Bergurau terlebih garisan. Khuatir tersebut benda yang dia tidak senang pula muncul dari bibir kita. Sebab tidak semua benda yang kita suka,orang lain pun suka. Tidak semua benda yang kita tak sensitif, orang lain tak sensitif. Berhati-hati menyusun kata, supaya tiada yang memendam rahsia kesakitan di hati. Parah jika dibiar membusuk, dosa kita bertalam-talam. Ini dia bahaya apabila kita letakkan lisan di hadapan hati. Nau'dzubillah.


Suatu-suatu masa juga kita hebat bercerita dan berkongsi input-input yang bermanfaat,ilmu buat bekalan dan pedoman sepanjang hidup. Tetapi sayangnya, kadang-kadang lidah kita terbelit dan menyimpang arah lain. Benda-benda yang tak perlu diselit-selitkan,ada yang membuat dosa terpalit. Susu putih yang kita harap,rupa-rupanya dah jadi air kopi yang keruh.


(gambar hiasan)


Jika bergaduh lagi parah, macam-macam kata-kata hodoh kita hamburkan. Kita tak hirau benda lain dah,asal kita rasa puas dan kita menang. Yang pelik lagi, pernah juga kita menyebut kata-kata hodoh bukan ketika marah atau didorong emosi,tetapi saja-saja. Sebab kita dah biasa menyebut,kita tak rasa perkataan itu salah malah cantik dan standard di bibir kebanyakan manusia. Malang apabila sudah menjadi percakapan seharian.Telinga kita pula jadi terheret sama. Mungkin kita lupa setiap perkataan ada nilaiannya. Setiap perkataan Allah hitungkan buat kita. Mungkin kita terlupa erti keindahan bahasa terletak pada apa.



Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). 
[Qaf : 18]


Selalu pujian dianggap baik. Namun,sedikit yang tahu bahayanya jika ia terlebih-lebih. Hakikatnya, memuji-muji (yang keterlaluan sehingga berdusta) diletakkan yang ke-18 dalam 20 bencana lisan. Terlalu inginkan pangkat,habuan dari manusia serta bonus memaksa kita memakai 'topeng biawak' untuk melakonkan aksi lidah bercabang penuh dusta. Melupakan bahawa dia adalah manusia sebaik-baik kejadian,tetapi manusia menghina manusia sendiri. Allah tidak pernah zalim pada hamba-hambaNya.


Kita juga kata kita jaga ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan wanita), tapi kenapa bila kembali bersembang duduk dengan rakan-rakan..kita berbincang benda yang tidak sepatutnya (lebih-lebih). Ada kalanya,sehingga merendahkan maruah seseorang secara tak sedar..sehingga jika empunya badan yang mendengar pasti terasa malu dan gerun. Na'udzubillah. Bukankah Allah Maha Mendengar pada setiap masa?


Kata Syeikh A'idh Abdullah Al-Qarny dalam tulisannya 'Jagalah Allah,Nescaya Dia Menjagamu'
" Berapa banyak lisan lepas melesat kepada kemaksiatan. Berapa banyak malaikat mencatat perkataan yang buruk dan busuk dalam buku catatan yang pasti akan dilihat dan dibaca oleh orang yang melakukannya dan dia menyesal pada waktu mana penyesalan sudah tidak ada gunanya."

Menjaga lisan mungkin merupakan perkara yang sukar antara perkara yang tersukar untuk dijaga. Sebab ini ciri-ciri orang yang berjaya. Mahu berjaya,memang sangat perlukan usaha dan mujahadah. Allah s.w.t berfirman;



Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia
[Al-Mu'minun:3]


berusahalah untuk menjaganya dan Allah akan memuji kamu





Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara),Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.


Bukankah seorang Muslim itu adalah mereka yang selamat dari bahaya lidah dan tangannya?sama ada dalam bicara secara live, blog, facebook,twitter,myspace dan lain-lain, kita seorang Muslim yang membawa keselamatan pada orang lain.

Mari indahkan bicara kamu wahai hamba Allah~ 




I sent an email to my loved one, just the other day

It’s sad communication has evolved this way.
We use so many words but have so little to relay
as angels scribble down every letter that we say.
All the viral attachments sent and passionate insults we vent
It’s easy to be arrogant behind user passwords we invent.
But on the day the scrolls are laid, with every word and deed displayed,
when we read our accounts, I know, for one, I’ll be afraid.

That day I’ll be so afraid to read,
every harsh word that I’ve spoken - and every time I have lied.
I’ll be obliged to admit,
I’ll be obliged to submit
Will I have strength owning up to each deed I’ve tried to hide?
Oh Allah, I’m so afraid to read.

--DAWUD WHARNSBY ALI AFRAID TO READ LYRICS--


WaLLAHU'alam.
Wassalam.

Sunday, March 14, 2010

Beza?

       Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang



Kadang-kadang kamu akan kecewa dengan seseorang
Ada masa kamu akan gembira disebabkan seseorang

Berbagai jalan kamu lalui
Pelbagai fasa dan keadaan akan kamu tempuh
Pelbagai jenis orang kamu jumpa.


"Kamu akan terjumpa si soleh yang aneh, dan si ‘biasa-biasa’ yang mulia."


Hakikatnya,manusia yang kamu jumpa tetap seorang manusia.
Dan tanggungjawab kamu yang paling utama adalah mendidik
diri kamu sendiri.




~luaskan kesempitan minda anda lebih daripada kesempitan dunia~

Monday, March 1, 2010

Dia Mencintaimu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

“Alangkah teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,” ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan soalan.
Persoalan.
Jika Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Aneh.
Mencintai insan yang belum ada.
Seandainya seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil. Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya. Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000 tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu, tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub. Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum Muslimin.
Sangka mereka itu senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12 Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
Fee al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan sebuah pemergian.
Tangan itu rebah terkulai.
Basah dalam bejana air.
Seperti air mata sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah kerinduan.
Merindui saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
diambil dari blog Ustaz Hasrizal Abd Jamil- http://saifulislam.com/?p=7648

p/s:maaf,saya tidak kesempatan menulis sendiri. Sedang 'jerih'. Semoga artikel ini ada manfaatnya untuk pembaca seperti anda. Ameen .

:::ShareThis:::

Tanya-tanya.