Pages

Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

Monday, November 7, 2011

Lahir & Mati

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Saya menuruni tangga bertutup marmar putih berkilat dengan senang hati. Penuh teliti agar tiada langkah yang silap. Keropok 'Buggle' sudah bertukar tangan. Saya kembali kepada 'hati-hati yang kental', khusyuk bersentuh dengan empuk-empuk sofa. Kehadiran saya disambut dengan kesunyian. Kesenyapan. Hanya beberapa pergerakan di atas sofa menangkap pandangan saya. Semua menuju kepadanya, sebahagian lagi menunduk ke bawah.

terus senyuman saya undurkan. Minda berfikir apakah yang telah berlaku.
Bukankah baharu sebentar tadi kita ceria dan gembira?


********
30 minit sebelum~

Kesejukan hampir menyelubungi satu badan. Walaupun ia belum sampai tahap sejuk berdarjahkan satu angka, kesannya sudah terasa. 3 pasang mata terus menyelusuri jalan-jalan di perbukitan,menikmati kehijauan yang jarang-jarang dapat dinikmati di bumi berpasir ini. Kereta pacuan 4 roda terus menggeser tar-tar hitam, menembus udara-udara sejuk yang menampar-nampar.


  Saya menceritakan perbualan di telefon sebentar tadi kepada si driver setia.

"eh,...bila hari lahir awak?" , tanya si driver penuh innocent. 

Saya menjawab sambil diiringi gelak kecil. Rakan di belakang meng-iya-kan jawapan saya.
Selain saya, ada 2 orang lagi yang join the club. Seven-eleven.

"oh..yeke?..emm..tak cukup ukhuwwah lagilah kita ni."


semangat mereka ingin membeli kek. Tetapi akhirnya tak jadi sebab tiada pilihan yang berkenan.
Kami meneruskan perjalanan melalui lorong-lorong yang sedikit simpang-siur. Ala-ala Cameron Highland.
Alhamdulillah selamat tiba di perkarangan rumah mewah sementara itu. Terus disambut dengan cerianya oleh hati-hati kental yang sedari tadi bekerja menyediakan satu ruang yang bersih dan kemas untuk hati-hati lain datang bertandang. Kesian, semuanya menahan lapar. Rezeki dari Allah telah datang. =)


Seketika masa menikmati pembekal-pembekal nutrisi (err..jajan bagi nutrisi?) untuk sekujur tubuh terus bekerja. Gembira dan gembira. Tapi, memang manusia ini diciptakan dengan fitrah bukan? Tidak sesaat mahu dibiarkan terlarut dek pesonanya rezeki-rezeki dunia. Pasti ada naluri hati yang menyentap buat mereka yang mahu berperang dengan diri sendiri. Bak kata pakcik Ar-Rasyid;

"Tenang dalam diamnya, 
tetapi lebih jelas dari orang yang berbicara.
Bila diamnya terlalu lama,
tergugahlah ia oleh keharusannya untuk bergerak." 

[masyaAllah...suka sangat quote ini]


Si driver setia memberi ruang untuk sesiapa yang ingin berkongsi tentang tazkirah Adha istimewa semalam.  Mengupas erti pengorbanan agung Ibrahim a.s dan Ismail a.s. Indah bila duduk untuk berkongsi, lebih indah bermakna bila ia membawa kepada mengenali Tuhan kita. =) kan ini tamsilan taman-taman syurga, seperti yang disebut Ar-Rasul s.a.w~


[syurga tidak bisa digambarkan..]


Dan di sudut itu, saya melihat jiwa-jiwa yang merendah. Merendah hati pada manusia, tetapi tinggi sekali di sisi Allah. InsyaAllah.
Orang yang kata tiada ilmu berkongsi,
orang yang kata ada ilmu berkongsi,
orang yang rasa-rasa macam kurang ilmu berkongsi,
orang yang rasa-rasa macam banyak ilmu tapi tak faham sangat berkongsi..


Tiada kasta,
tiada tinggi, tiada rendah,
hanya rasa yang sama untuk melihat Islam itu indah.


hati-hati saling mengenal apa yang dirasa bersama, sehingga si driver melontar suatu persoalan

"siapa nak share perkara paling manis dia pernah lalui tentang pengorbanan? eh..maksudnya cerita pengorbanan yang dia rasakan..."

bila respon yang lain semua sunyi, si driver memulakan dulu. Pada saat itulah, suasana menjadi sunyi, Penuh kesenyapan. Hanya tangan yang mengesat menggambarkan kisah. Baharu saya tahu, pada hari raya kedua aidiladha merupakan ulang tahun pemergian bonda si driver. (saya juga tidak cukup ukhuwwah lagi dengannya.) Tangisan mengiringi ceritanya. Kisah yang datang dari hati, turut mengesan 'hati-hati kental' yang lain untuk merasa kesedihan yang sama. Tingginya pengorbanan ibu si driver digambarkan dari air matanya yang mengalir laju.

walaupun si driver tidaklah menceritakan penuh terperinci, tapi cukuplah ayat  "kita ada kat sini pun dari pengorbanan mak ayah kita..banyak sangat diorang dah korbankan..". Si driver yang sangat charismatic dengan sifat ceria dan popular sanguinenya, kini membuat saya haru. Merasa bersalah pula, baru sebentar tadi ceria-ceria bercerita birthday2...tidak tahu hari ini juga merupakan hari sedihnya. Tabah sungguh si driver setia, meredah penat hari ini sedangkan malam semalam berlenguh-lenguh kaki dengannya dari Hijazi ke Syimali hampir satu hari.

*****

benar..tiap-tiap tahun kita mendengar berbagai tazkirah, ceramah AidilAdha,..mengupas dengan hebat kisah agung Nabi Ibrahim a.s dan anaknya. Tiap-tiap tahun, bertukar-tukar ustaz/ah kita dengar. Berganti-ganti masjid dan dewan kita pergi.


tetapi, kita hanya akan betul-betul merasa..
dan mengetahui erti pengorbanan itu..
bila kita meRASA SENDIRI.
LALUI SENDIRI..
terjadi pada diri sendiri.


apa yang kita tahu mungkin akan pergi dan hilang,
tapi apa yang kita lalui..selalunya akan melekat sampai bila-bila.
itulah beza orang yang diberitahu dan kata faham
dengan orang yang merasa sendiri dan kata faham.


kisah Nabi Ibrahim serta Ismail a.s anaknya bukan hanya berputar pada cerita yang sama, ('penyembelihan' Nabi Ismail yang akhirnya diganti dengan seekor kibasy),
tetapi LEBIH dari itu...
* rujuk surah Al-An'aam (antrnya).



Alhamdulillah, di tarikh hari lahir saya ini...
banyak pula tazkirah berkisar kematian yang diberi (plus tazkirah lepas zohor tadi),
antara bahagia dan teruja dan takut dengan risau,
saya semakin mendekati saat pertemuan denganNya.

rasa terima kasih tak terhingga pada ibu ayah yang melahirkan dan membesarkan saya. Eh...adik-beradik yang membantu membesarkan saya. Juga orang-orang di sekeliling yang melengkapkan hidup saya.=)

Doakan semuanya kheir lillahi taala.~
^_^



Perbukitan Ajloun,
Jordan.
tengahari + petang

Friday, May 27, 2011

Learn from the unusual.

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


sudah mahu masuk 19, ya Allah..


Suatu masa,
    ketika saya masih kecil lagi dalam lingkungan sekolah rendah tahap 1, saya pernah merajuk dengan mak saya. Macam-macam saya fikir ketika itu, dan akhirnya rajuk itu dibawa-bawa hingga saya tidur. Kemudian, malam itu  mak saya datang dan bercakap-cakap dengan suara yang perlahan,memujuk. Menjelaskan apa yang saya fikir. Saya hanya mendengar dengan linangan air mata yang menemani, sepi dari bunyi. Tidur kononnya, rupanya ego.

Begini mak saya mengajar, tidak semua yang kita sangka adalah betul..kadang-kadang ia lebih indah dari apa yang kita fikir buruk.


Dahulu,
    hampir tiap-tiap hari saya bergaduh dengan abang saya. (masa kecik-kecik dulu). Boleh kata,kalau satu hari tu tak gaduh..memang macam 'miracle' habis lah. Suatu hari, tengah 'lawan2'..sampailah tiba-tiba gigi saya berdarah. Maka, mulalah abang saya kena 'sound' dengan mak. Awalnya, abang saya buat tak tahu je, tak puas hati,marah dan malu mungkin (sbb kena marah..hehe :p)..Tapi kemudiannya tiba-tiba dia datang pada saya dan meminta maaf~.

Begini abang saya mengajar, merendahkan ego walau saya tahu hati dia hati lelaki. (hihi..:p)


Suatu masa,
     saya dan beberapa orang rakan pernah kena panggil ke depan kelas oleh guru disiplin. Atas kesalahan 'tuuut' (hehe..tak boleh sebut.). Masa itu, wujud perasaan malu yang menebal pada rakan-rakan kelas dan guru yang mendenda saya itu. Tak terbayang lepas-lepas ini, macam mana saya nak menghadapi guru tersebut. Dunia seolah kelam. Tapi, lepas kejadian tersebut, guru saya layan kami macam biasa sahaja. Masih mampu untuk berlawak, senyum dan gelak ketawa persis peranan seorang guru yang penyayang, mentarbiyyah (mendidik yang istimewa) anak muridnya. Dan akhirnya saya pun rasa biasa dan senang dengan guru tersebut. 


dan sekarang sungguh saya benar rindu pada murobbi tersebut yang sehingga sekarang masih berkhidmat di sekolah yang sama ^_^. Yang mana bila saya dah naik sekolah menengah dan bertembung dengan murobbi 
tersebut, dia pasti akan tersenyum dan bertanya khabar.


  Dia mengajar saya untuk marah bukan suka hati sahaja nak marah, marah biarlah ada tujuan dan pengajaran yang mahu diberi. Selepas itu, berhikmah dan berlembutlah dengan orang tersebut. 

(susah tak?..huhu, mari kita latih! Rasanya penat lagi kalau kita marah pada orang berterusan)



Ada seorang sahabat saya ini,
       dia seorang yang tenang sangat. Tak kisahlah apa-apa pun yang berlaku, dia tenang dan cool sahaja. Kadang-kadang, pelik saya tengok..'kenapalah dia ni rilek sangat??'. Orang usik-usik dia pun, bila dia balas balik tak nampak pun macam nak balas balik, sebab terlalu lembut. MasyaAllah, Allah jua yang Menganugerahkan dia sifat tenang dan kelembutan itu. Ada masa-masanya bila saya lihat dia duduk seorang diri atau lepas solat, kadang-kadang ada raut kesedihan yang terpamer dari wajahnya. Saya tahu dia pasti banyak muhasabah. (insyaAllah)  Saya berfikir apa rahsia dia ye?...


sahabat saya ini, saya sempat duduk dengan dia lebih kurang 4 bulan sahaja..tapi banyak sungguh dia mengajar saya. Tak tahu dapat amal ke tak apa yang Allah izinkan saya kutip dari dia...insyaAllah, insyaAllah. Rindu pada dia~ :)



Pernah,
     seorang junior datang pada saya menceritakan tentang dirinya,keadaannya dan cabaran yang dia harus hadapi. Dia bertanya;

"akak, Macam mana saya nak buat ye?.." dan dia terus bercerita. 


Sayu saya dengar, lagi sayu bila memikirkan apa yang dia harus hadapi. Lepas dia pindah sekolah, dia tetap menghantar mesej bertanyakan pendapat dan meminta kata-kata semangat. :) Sekarang walaupun saya berada jauh beribu-beribu batu dari dia, ada masanya ingatan saya akan tersinggah pada dia. Rasa bersalah dah lama tak ikuti perkembangan dia dan tidak menunaikan hak dia sebaiknya.


adik ini, walaupun usia dia muda lagi masa itu dia sudah mampu bertindak matang untuk mencari penyelesaian. Jauh dari gambaran kebanyakan cerita-cerita yang ditayang di TV, bila kesusahan datang..menangis tak sudah dan menyendiri. Berbezanya seorang Mukmin. :)


Dari jauh, saya doa semoga dia kuat menghadapi rahmat (ujian) yang Allah berikan padanya. (kot-kot la suatu hari dia bukak blog ni kan..hehe)



 *       *       *


    Kalau mahu cerita semua benda yang kita belajar dari hidup, rasanya memang takkan habis kan? Huhu... bestnya kalau setiap benda yang berlaku di sekeliling, kita dapat extractkan pengajaran daripada semua itu. Tanpa melatah, atau marah-marah, atau sedih tak sudah,dan 'bersoal-soal'....'kenapa?', ' kenapa?!', 'kenapa??!'. Tak payah penat-penat luahkan kegeraman yang akhirnya setiap perkataan kita ada malaikat yang mencatit.



Fuh..
Ambillah sedikit masa untuk bersendiri dan tenangkan fikiran,
sambil melakukan proses extraction. 
Bukan extract bahan-bahan kimia atau komponen-komponen alam..tapi mengextract benda yang lebih hebat dari itu.
Sebab Allah tidak akan jadikan sesuatu yang sia-sia.
^_^.







p/s;
* tahniah kakak-kakak final year yang dah habis exam final kepada final. Maat taufeeq!
* tahniah semua yang dah habis exam final sem 2. Maat taufeeq juga..apa2 pun, extract ye..~
* untuk yang 'bekerja',..semoga kita sama-sama ikhlaskan niat untuk Allah sahaja. Supaya penat kita tak jadi   penat yang sia-sia..na'udzubillah~
* hehe..tajuk post bahasa inggeris, (macam gempak je kan..)..hehe, isi bahasa melayu juga. Sori~



wassalam.
Bayt Fateh.
Irbid,Jordan.

Saturday, February 19, 2011

Syukran (terima kasih)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Lidah terkelu
Walau hati diketuk-ketuk
Untuk berkata sesuatu
Tapi terhenti di pinggiran

Bungkam tanpa nafas huruf
Yang terkeluar dari dua bibir yang tertutup
Hanya mengukir senyuman
Gambaran hati sarat perasaan

Hanya mampu mengucap
di dalam hati
TERIMA KASIH.
^^. T T





Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
(Surah Ar-Rahman: 16)

.Alhamdulillah.


Bayt Fateh
10:**
[mode: belajar sesuatu]

Thursday, January 20, 2011

Umm Qais

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

      Alhamdulillah. Sementara kesempatan masih ada, peluang ingin saya ambil. Selagi masa masih tersisa, sedikit perkongsian terus dicungkil. Tentang Umm Qais. Adakah tentang seorang wanita yang dikaitkan dengan hadis pertama (tentang niat).? Oh,bukan,bukan ...bukan tentang itu. Tapi Umm Qais adalah nama sebuah tempat yang lokasinya terletak 110 km di utara Amman. :) Tidak pasti kenapa ia dinamakan Umm Qais, ada pendapat mengatakan itu diambil dari bahasa Greek-Rom dahulu.~

      
      Kami mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih untuk sampai ke Umm Qais dan bertolak dari Irbid. Untuk sampai ke Umm Qais, harus melewati jalan2 yang berbukit dan berliku. Tak ubah seperti kalau kita nak pergi ke Cameron Highland .Bezanya kita akan nampak daun-daun menghijau atau pokok teh sepanjang ke CH, tapi apa yang dilihat sepanjang ke Umm Qais adalah bukit-bukit yang dilitupi pasir coklat, kehijauan pudar pokok-pokok zaitun serta batu-batu yang tak lekang menghiasi pinggir-pinggir bukit.

    
         Sepanjang kembara debar menaiki sipi-sipi bukit, sangkaan saya kawasan ini tidak ramai orang yang tinggal. Oh, ternyata sangkaan saya meleset!. Banyak juga rumah-rumah rakyat Jordan yang terbina di situ. Siap ada sekolah,tempat tunggu bas (mestilah!~..), dan kanak-kanak yang bermain sini sana. Mereka ni boleh pergi Umm Qais bila-bila masa je mereka nak. Terfikir-fikir mak-mak dan ayah-ayah yang bekerja di luar kawasan ini, pasti penat berulang alik turun-naik bukit untuk ke tempat kerja?..samalah jugak macam kat Cameron Highland. Ada je 'kota' kat situ.. :D







Sesuai dengan kedudukannnya di atas bukit,
         kami diserbu angin yang begitu kuat sebaik turun dari MPV (sarvis yang disewa). Tambah-tambah angin yang membawa udara sejuk membuat badan agak sedikit terketar. Alhamdulillah, dengan seorang kakak senior sebagai 'tour guide' kami, berlindung sekejap di kaunter pendaftaran untuk menunjukkan hawiyah (seolah kad matriks) pelajar. Jika ada hawiyah, maka yuran untuk masuk adalah majanan! [percuma :) ]. 

Batu-batu yang tersusun kemas menyambut kami. Melewati tangga-tangganya untuk turun ke bawah seolah berada di zaman yang lain. SubhanaLLAH, memang cantik tempat ini! Di sebelah kanan terdapat susunan batu yang membentuk seakan rumah. Beberapa 'rumah' terletak jauh sedikit antara satu dengan yang lain. Tapi saya je yang rasa itu rumah, hakikatnya tidak taulah...






Difahamkan,
       bahawa Umm Qais,- atau disebut juga sebagai Gadara- merupakan kota tinggalan Rom. Menurut sedikit pencarian maklumat di internet pula, ia merupakan salah satu bandar dalam Liga Dekapolis (di zaman Rom). Kota ini dikatakan pernah dikuasai oleh 4 empayar besar; Greek, Rom, Byzantium dan Islam. *rujukan sini*~ Kami terus melangkah menuruni tangga-tangga sambil mata menangkap pemandangan bukit-bukit yang terhias. Sehinggalah kami sampai pada 'tangga-tangga' yang membentuk separuh bulatan dengan tumpuannya di tengah. Rupa-rupanya ini adalah sebahagian tinggalan Teater Rom. Kebanyakan binaan-binaan batu di sini hanya tinggal batu-batu yang rebah lemah di atas tanah, dikatakan akibat gempa bumi yang berlaku.



" A large portion of the Western Roman Theatre, has survived history's upheavals. Vaulted passageway support its rows of seats, built of hard basalt stones. " - rujuk sini



Terus berjalan, 
       terjumpa tangga yang akan membawa kami ke suatu bangunan di atas. Dan di hadapan (sebelum tangga), terhampar 'pathway' yang panjangnya tidak saya tahu dan entah akan bawa kami ke mana jika terus berjalan melaluinya. Memang sangat jauh la pendek katanya. Maka kami putuskan untuk 'tadabbur' yang di atas dulu. Sebelum kami masuk ke pintu gerbangnya, akak senior bersuara...

"Kat sini boleh nampak Bukit Golan dan Tasik Tobari...", sambil mengacukan jari telunjuk ke arah sebuah bukit di tepi kiri. 



(kiri: Tasik Tobari/Tiberia Lake. kanan: Bukit Golan)


Bukit Golan ni pernah menjadi rebutan antara Jordan, Syria dan Israel. Juga dikatakan barangsiapa yang dapat menawan bukit tersebut maka dia akan dapat menawan Tasik Tobari. Sebabnya Tasik Tobari tu sangat berharga untuk dijadikan sumber air . Sadisnya, sekarang dataran ini dimiliki oleh Israel Laknatullah pd 1970 dalam peperangan Yum Kippur dan kaki bukitnya dimiliki Syria (Quneitra).

Dan 'pathway' yang saya katakan sebelum ini rupa-rupanya adalah laluan perdagangan (cardo). Menariknya semasa jalan-jalan disitu, kelihatan ada batu-batunya yang melekuk ke dalam dan tidak rata. Apa yang saya dengar lekukan itu adalah kesan roda pengangkutan zaman dahulu. Betulkah? WaLLAHU'ALAM...


 (Cardo.)


(dari lensa atas)


Menarik lagi,
         saya terbaca di sebuah blog , kalau berkesempatan bolehlah pergi ke bahagian bawah Umm Qais dan kita akan dapat lihat Tasik Tobari dan Bukit Golan dengan pandangan yang lebih jelas.  Dari situ,kita akan nampak sebahagian daripada kampung Israel dan ia bersempadan dengan Sungai Yarmouk yang menjadi titik pemisah antara Jordan dan Israel.Jika lebih fokus lagi,kita akan nampak masjid yang sekarang sudah ditukar menjadi kasino oleh yahudi israel laknatullah. 

Sayu rasanya melihat di balik bukit itu, ada tanah-tanah yang ditarah dan dirampas dari saudara-saudara kita. Ada pula darah-darah yang tumpah dan terkorban untuk mempertahankannya. Tidak terkata bila ia seolah tidak jauh di hadapan mata...ya Allah, AstaghfiruLLAH~.


 (terbayang tangga Maratib Amal tak? :] )



(dari tanah tepi cardo)

 ~tiang-tiang keras akur,
   dari zaman mana pun ia datang,
   sekuat mana pun dia terus kekal,
   tetap jatuh,pecah dan derai,
   takut pada Maha Kuasa yang memerintah~





 ~ rumput-rumput subur menghijau di musim sejuk,
    menyedut kelembapan rezeki dariNya bila mana ia tiba
    mampu tak kita jadi seperti rumput
    untuk menyerap hidayah Allah di mana ia sentiasa ada?~


Sejurus selepas 'berkelah' tengahari,
            kami sedia bertolak pulang ke medan lahiriyah ilmu dan amal kami, Irbid. Sebelum anak-anak Y+J tertidur,cepat-cepat dibuat projek 'mencerakinkan' hikmah di dalam van. Semua orang memberi buah fikirannya yang ligat berjalan sama sepanjang perjalanan di Umm Qais. Rancak berkongsi dalam bahasa Melayu, memandangkan pakcik driver Arab tak faham sepatah pun apa yang kami cakap. (hehe..kecuali perkataan2 yang asalnya Arab, 'Rasulullah', 'Islam', 'Ukhuwwah', 'Tadabbur', etc..). 


Rasa sangat suka bila setiap masa kita tak berlalu sia-sia,kan? Jalan-jalan pun boleh dapat macam-macam pengajaran dan kebaikan. Alhamdulillah~...dan segala pujian hanya bagi Allah.

"“Berjalanlah kamu di atas muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana akibatnya sikap orang yang berdusta.” (Al-An’am:11)


Wallahu'alam.
Bayt Pembuka,
Irbid,Jordan.
~nak memanfaatkan cuti berbaki~InsyaAllah. 'katakan Ameen' ye :)


rujukan tambahan;
# tadabbur = memerhati dan menghayati hikmah atau perkara yang tersirat di sebalik sesuatu.
  (betul ke?...kalau ada penjelasan yang lebih 'bermakna', bolehlah tambah2 di ruang komen. :D ) 

Monday, November 22, 2010

Siapa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

~ sekitar jam 5:30 petang dan selesai solat Maghrib. (waktu sudah awal, malam sudah panjang!)



(sekadar gambar hiasan.......   tapi bermakna :D )


Seseorang: Terfikir siapa yang nak bawa Islam kat 'sana'?




Kita: Kenapa? Takde ya yang belajar di sana?




Seseorang: Takde. Dekat sana..sangat kesianlah tengok diorang. Pagi-pagi bangun, buat kerja macam-macam,bagi makan lembu dan binantang ternak semua..lepas itu macam tu je. Hidup tanpa arah tujuan. Kerja penat-penat tapi akhirat nanti tak bawa apa-apa. Kesian tengok mereka yang dah tua-tua...




Kita: emm..kalau nampak orang Islam kat sana, macam mana diorang layan? Pelik ke atau biasa-biasa je?




Seseorang: Biasa je...Mula-mula nampak tu macam memangla pelik..kitorang senyum je. Tapi biasa je diorang layan.




        Pendengar-pendengar semua tunduk ke bawah sambil mata berpusing-pusing melihat bungkusan biru emas yang membalut coklat dengan kemas.'Kepala' sampul dipusing seakan-akan membentuk bunga. Magnet yang diukir seolah lukisan menara dan jambatan diamati dalam-dalam sambil dimain jari-jemari.




Seseorang: Kat sana perempuan-perempuan dia takde pun nak malu. Maksudnya kalau ada perempuan yang pakai dedah-dedah tepi jalan,itu perkara biasa kat sana. Tepi-tepi jalan pun ada orang minum arak.


 kita semua memandang sambil tersenyap




Seseorang: Yela..negara kafir kan..(penduduknya adalah orang bukan Islam).




Kita : Ada orang mabuk tak? (kat tepi jalan)




Seseorang: Kitorang takdelah nampak pun...
Tapi negara diorang sangat bersihla. Cantik dan kemas je..




Kita: Pelik kan? Terbalik~ 




    Soalan mula bermain-main dalam minda. Soalan yang sudah berabad lamanya..

Seseorang: Orang kat sana sangat hebat cabarannya. Sebabnya diorang dah lama cuba cari kerja tapi tak dapat sebab pakai tudung. Kalau nak interview, kena bukak tudung baru boleh..Sekalipun orang itu PHD..dia tak nak jugak sebab pakai tudung.




Kami: (...mendengar dengan penuh perhatian~




Seseorang: Tapinya ada seorang ni..dia kerja jugak sebab nak cari duit kan. Dia kerja sebagai cleaner. Dia hanya kerja bila bos dia balik..maksudnya waktu malamlah baru dia kerja.




Kami: Ooo...eh,tapi kenapa? (faham tapi macam tak faham)




Seseorang: Bila bos dia balik,barulah dia boleh kerja. Sebab dia pakai tudung! (senyum). Bos dia tak nampaklah yang dia pakai tudung. :)




Kami: Memang bos dia yang suruh kerja waktu malam ke?




Seseorang: Taklah..dia sendiri yang mintak.




Kami: Kawan-kawan kerja dia yang lain tahu lah yang dia pakai tudung? Takde yang beritahu bos?




Seseorang: Tak tahu..entahlah.




Kami: Oo..jadi masa interview macam mana?




Seseorang: Oh..yang tu tak tahu macam mana interview dia.


         Suasana senyap. Terasa sejuk dengan angin luar yang menceroboh masuk melalui lubang-lubang tingkap.



Seseorang: em~ tapi kita pula kat sini (hidup di negara yang 'wujud Islam') yang ada peluang banyak untuk tahu dan faham Islam, tak nak pulak dan mengeluh. Tak ambil peluang untuk diri sendiri. Orang-orang kat sana sebenarnya bukanlah dari sekolah agama..diorang kenal Islam pun bila diorang sampai kat 'sana'. Hebat kan? :D (sambil tersenyum)


Kita: iye?? (semua tarik senyum sampai ke telinga. Kagum dengan perancangan Allah yang Maha Hebat) 







Seseorang: ...... pelajar-pelajar sains,medik,engineering semua ni..biasanya kata ' nak cipta satu benda yang hebat untuk Islam',macam-macam dan sebagainya...tentang ini, ~~~~ cakap "jangan harap, memang tak boleh". 




Kami: (sedikit mengangkat kening = tanda pelik)




Seseorang: Sebabnya orang-orang Barat dah sangat maju dan jauh meninggalkan kita...teknologi dan kemajuan semua mereka dah kejar. Maksudnya untuk sekarang ini, bukan itu yang kita nak kejar (sebagai prioriti utama)..tapi tinggalnya pada kita adalah untuk membina peribadi. Membina rijal-rijal (peribadi Muslim yang mantap). 


Sebab kalau takde peribadi yang mantap, takde semua benda tu. Bila kita bina rijal-rijal barulah ada teknologi  dan segala kemajuan diwujudkan.  Pendek kata, AQIDAH lah asasnya. 




(Ok,cuba bayangkan kita ada teknologi yang mantap, kemajuan yang hebat-hebat bertaraf mega super..tapi peribadi kita adalah peribadi yang runtuh, hidup hanya untuk dunia, makan minum dan sebagainya. Maka kita adalah tidak ubah seperti mereka [negara yang diceritakan dalam perbualan]. Sebaliknya apabila ada orang-orang yang mantap aqidah, luas pengetahuan, kuat tubuh badan, tersusun urusannnya, bagus peribadi dan akhlak..kita akan boleh mencipta kemajuan-kemajuan yang bertaraf mega super duper. Kerana sumbernya (orang-orang yang bagus tak menahan) sentiasa ada.~)




  Magnet yang seolah lukisan menara dan jambatan diamati lagi. Melihat dan berfikir.




Kita: er..siapa punya kata-kata ni tadi kak? Doktor akak?




Seseorang: Syed Qutub.




Kita: Ooohh..Syed Qutub! Em~..dan Syed Qutub mengeluarkan kata-kata itu sejak zaman dia.




Seseorang: Haah, betul! Kata-kata ni dari zaman dia lagi..kalau sekarang..




Kita: ...sekarang entah macam manalah.


~senyap.lihat.fikir.~



Seseorang: ok, dah. (dia yang merupakan pelajar sains senyum,bangun dan bergerak ke bilik..sambil menggendong harapan & kerja yang BESAR buat Islam)






"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, -
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."
(An-Nasr:1-3)


Tuesday, November 9, 2010

Hari-Hari Istimewa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

~cepat,cepat masa berjalan. 2010 sudah mahu sampai hujung, yang UPSR sudah selesai, yang PMR sudah lega,yang SPM masih debar (^^..teringat zaman dulu. Ma'at taufiq!), yang STAM sudah tenang, mahasiswa mahasiswi ternanti-nanti cuti aidil adha...  kemudian ada yang periksa! =.=

    Kali pertama saya menyambut 'hari itu' bukan di Malaysia. Terasa seperti tahun ini sedikit istimewa. Bukanlah kerana saya mendapat hadiah yang banyak (ada la sikit-sikit..^^)..tapi,


  • 'Kebetulan' ia bersamaan dengan 1 Zulhijjah. Bermulanya 10 hari yang penuh barakah dan penuh ganjaran. 10 hari yang awal disediakan ganjaran yang melimpah-limpah dariNya...bonus ini buat mereka yang mahu. Sekadar berpesan pada diri saya agar lebih berkorban untukNya, banyak lagi yang harus diperbaiki dari segala aspek sama ada dalam diri atau luar diri. Juga perlu tingkatkan ibadah dan ikhlas untukNya semata. Simpulnya,perlu lebih banyak muhasabah diri...sangat banyak kekurangan & kelemahan yang perlu ditampung.

“Tidak ada hari-hari untuk beramal soleh di dalamnya yang lebih dicintai oleh Allah melebihi daripada hari-hari ini.” (iaitu sepuluh hari) Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, tidak pula jihad fî sabilillah?”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Tidak pula jihad fî sabîlillâh melainkan seorang lelaki yang keluar jiwa dan hartanya (untuk berperang), dan dia tidak kembali membawa sesuatu apapun.” [Sunan Abi Daud: 2438, Sunan at-Tirmizi: 2438 dan beliau menyatakan ia Hasan Sahih Gharib] Penerangan: Maksudnya sepuluh hari pada awal bulan Zulhijjah.


  • AlhamduliLLAH,2 hari sebelumnya, hati diisi (insyaAllah) dengan pengisian Dr. Hafidzi yang bertandang ke Irbid bersama isteri beliau, makcik Zu. Kedatangan mereka membuatkan saya terasa seolah berada di Malaysia..dan seolah 'ayah-ayah' kami melawat kami di sini. Lebih-lebih lagi dr. Hafidzi ada berkata : " Kami ni macam mak ayah jugalah yang datang melawat " . Rasa sangat bersyukur dr. dan makcik Zu sudi berkongsi peringatan buat kami di sini yang sememangnya sangat perlu kepada booster semangat (lebih-lebih lagi yang tahun 1 ni). Secara keseluruhannya, perkongsian dr. berkisar tentang GOLONGAN MUDA.                                                                                     Kita tahu bahawa masa depan sesebuah negara bergantung pada pemuda-pemudinya. Begitu juga dalam rentetan rekod-rekod hebat perjuangan Rasulullah, mereka yang berada di barisan hadapan adalah golongan pemuda. Tapi, apa maksud 'golongan pemuda' yang berjuang bersama Rasulullah? Umur berapa baru boleh dikatakan pemuda?..Sebenarnya, kalau kita lihat kembali pada episod sejarah Islam, golongan muda mereka adalah seawal budak berumur 10 tahun. (cth, saidina Ali r.hu), ada antara mereka yang berumur 13 tahun (cth Asma binti Abu Bakar yang menghantar makanan & minuman ke Gua Tsur) dan banyak lagi kisah2 sahabat yang 'bawah umur' ini dalam membantu perjuangan Islam * mungkin pembaca boleh belek-belek kitab Sirah ataupun search sahaja di internet canggih ni,yang popular dalam kalangan muda-mudi sekarang. :)* banyak lagi hikmahnya,insyaAllah di ruang waktu dan kesempatan yang lain ya. 
          Pengisian dr. membuat saya terasa saya ini sudah tua. Memang sudah 'tua'...jika dibandingkan dengan para sahabat Rasulullah yang hebat-hebat. 

  •         Hidup di sini jauh dari keluarga, maka kawan-kawan dan kakak-kakak lah yang menjadi 'keluarga kedua' saya di sini. Tahun ini walaupun tak dapat makan kek bersama family di Malaysia..tapi di sini ada kakak yang membuat kek cheese-blueberry with digestive biscuit (main letak je nama ni..^^) untuk kami makan bersama dalam usrah. Bila pulang, dapat pula kek oren yang dihias dari dua orang kakak medik+dentist yang tinggal serumah. ^^. Alhamdulillah.
(kek cheese-blueberry with digestive biscuit....:>)


(kek oren dihias dengan skittles* tak tau apa nama gula2 tu*)


  •          Hari selepasnya pula ada kelas perkongsian bersama Syeikhah Umaimah. Kelas ni lebih berkonsepkan 'kelas bedah buku' dalam Bahasa Arab dan diadakan setiap minggu (insyaAllah). Kami gunakan kitab "Tanbihul Ghafilin" oleh Abul Laits As-Samarqandi. (buku ni sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, rasanya BM pun ada juga kot). Syeikhah mulanya menyentuh bab "Keutamaan Hari-hari Yang 10" ( باب فضل ايام العشر), kemudian berpindah pada kertas yang Syeikhah edarkan pada minggu yang sebelumnya. Juga tentang 10 hari awal Zulhijjah. Yang paling-paling 'menyentak' kami semua antara amalan yang digalakkan dalam 10 hari awal ini adalah sekurang-kurangnya untuk khatam Al-Quran sekali, caranya dengan membaca 3 juzu dalam 1 hari.                     

          Syeikhah : "صعب؟" 
          Kami : " .....نعم"
          Syeikhah : " cuba kamu buat  dari lepas subuh sehingga matahari naik,1 juzuk. Lepas zuhur hingga terbenam matahari,1 juzuk, Dan selepas maghrib hingga terbit matahari 1 juzuk..semuanya 3 juzuk. :D"
          Kami : "..................


Mungkin disebabkan ini semua saya terasa sedikit istimewa..tapi bak kata mesej yang dihantar Kak Nuha

   "If only you knew even a fraction of how much God take cares of you in a single day, you would smile for eternity..maybe you think today is special because it seems like the world cares for you when everyone whishes you..but the fact is everyday is special with Allah's Love."


Tepat. Tiap-tiap hari Allah Menjaga kita, tiap-tiap saat Allah Menjaga kita. Tiap-hari juga kita mendapat hadiah dari sahabat-sahabat kita (doa yang tulus ikhlas)..Tiap-tiap masa juga Allah sediakan peringatan (Al-Quran, segala ciptaanNya) untuk kita fikir dan hayati. Maka,bukankah tiap-tiap hari juga adalah istimewa? ^_^. dan 10 hari awal ini dan seumpamanya ibarat satu bonus kepada keistimewaan hari-hari ini.



# Banyak lagi harus muhasabah,banyak sangat kena perbaiki dan perbaharui. Sungguh, saya insan lemah yang teramat. T_T


Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).






Selamat Berkorban!
Selamat Aidil Adha!


(ini replika kaabah yang dibuat sahabiyah-sahabiyah Arab di Musolla Kuliyah Syariah Yarmouk sempena raya haji. ^^ kreatif amat mereka!~)




Wassalam.





:::ShareThis:::

Tanya-tanya.