Pages

Friday, February 19, 2010

Kesombongan Yang Sia-Sia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Dengan namaNya,kita pohon kekuatan. dan denganNya kita mohon pertolongan. Sesungguhnya hanya Dia tempat manusia bergantung harap,Yang Maha Kuat,Yang Maha Diperlukan.

      Tidak banyak yang saya ingin ungkapkan. Sekadar meyatakan curahan rasa dan hikmah untuk sama berfikir. Sebentar tadi saya membaca blog Kak Mawaddah & suaminya. Saya tidak pernah jumpa pun orangnya,hanya kenal melalui perhubungan maya ini. Namun,ceritanya menyentuh rasa dan hati. Post terbaru mengenai anaknya,mujahid di syurga.

       Hati saya sarat dengan perasaan hiba tatkala membaca butir-butir ayat yang ditulis. Jika pembaca ada masa,bacalah kisahnya,ada saya pautkan di bahagian tepi kanan blog (pautan syeikhah) bertajuk 'Buatmu 'Ukasyah' atau klik sahaja pada tajuk post ini. Hayatilah dengan hati yang saudara/saudari ada.

      Saya teringat kata-kata daripada guru mentor saya dalam SPPM (sistem pentaksiran pelajar musleh) ketika sekolah dulu. Kata-kata yang menyentak hati saya dan rakan-rakan yang ketika itu sedang kalut dengan keadaan sekeliling.


"Ujian yang hebat itu untuk orang yang hebat. Semakin tinggi ujian itu..semakin tinggi (hebat) pula taraf orang yang menerima ujian (jika sabar).."
  

       Membaca kisah Kak Mawaddah,saya mendoakan dia dan suaminya tergolong dalam mereka yang hebat. Ameen..insyaAllah. Sungguh cantik aturan Allah.Selepas ujian hebat melanda,peringatan Allah pula datang dengan penuh kasih sayang. Apabila saya membaca kisah mimpi tersebut, saya juga teringat kata-kata guru naqibah saya ketika sesi usrah,

  
  "Orang yang sudah menjadi ahli Syurga pun merasa sangat menyesal apabila terkenangkan satu saat di dunia dahulu yang dia tidak ingat Allah..."

dan kata-kata lil mujahid syurga itu,


  "“Walaupun ‘Ukasyah ahli syurga, tapi ‘Ukasyah takut sangat tengok orang kena seksa dalam kubur ni Ummi”, bicara ‘Ukasyah pada ummi.


Saya muhasabah diri saya.
Takut juga saya ingin meluah rasa.
Saya fikir,manusia ini memang mudah tertipu.Saya tak terkecuali.
Hanya fikir mengikut kesenangan hati di dunia. Asal hati dan diri rasa senang dan mudah,manusia akan buat. Walaupun perbuatan tersebut melanggar peraturanNya dan tidak selari dengan perintahNya.



Tapi senang itu tidak lama.
Sedikit sahaja,sangat sekejap.
Manusia sekarang tidak bijak seperti Ratu Balqis yang memilih kesenangan yang kekal berbanding yang sementara.
Manusia sekarang juga tidak ramai yang seperti Asiah yang memilih untuk mempertahankan iman walau diseksa dan dicerca suami yang sangat zalim.


Saudara/saudari,kembalilah. Perhatikanlah dengan baik 'bicara'-'bicara' Allah pada kalian. Usahlah lagi bergelumang dengan sifat sombong yang hanya merugikan diri sendiri.


AstaghfiruLLAH,semoga kita kembali padaNya. Kembali pada fitrah semula jadi kita.
Allahummakhtim lana bi husnil khatimah,wala takhtim 'alaina bi su' il khatimah.




(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia .Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!
[89:27-30]

Wassalam.

Sunday, February 14, 2010

Nikmat Rindu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


          Segala puji bagi Allah. Setelah mengatakan hasrat saya pada kedua orang tua,saya senang hati dengan jawapan yang diberi. Bermalam di sekolah memandangkan ada program qiam banat (sahaja).Sengaja saya mengambil peluang ini untuk bertemu rakan-rakan dan adik-adik junior yang sedang berjuang menyambung misi dan visi Islam di medan persekolahan.Lepas rindu. Perjalanan saya mula lepas asar dan sampai di sekolah ketika orang-orang sedang sibuk berkhidmat diri dan makan. Saya datang disambut naqibah usrah (guru usrah) dan sahabat baik,Elya Iman. ^_^. Lewat petang itu,kami bertiga makan di meja bulat hijau di luar dewan bersama seorang lagi anak naqibah saya,berbumbungkan angkasa yang sudah mula oren-oren dan berlatarkan pemandangan kampung Sg. Tangkas. Dah lama saya tak merasa suasana begini. Dalam makan bersama itu,sempat kami berbicara tentang beberapa perkara dan bercerita pengalaman. Hamdalah~




          Slot lepas maghrib itu,disampaikan oleh seorang Ukhti Tingkatan 5.Tajuknya 'Ikhtilat' (pergaulan antara lelaki dan perempuan). Saya hanya mendengar dari jauh sambil menemani teman saya,Taghrid yang sedang makan. Penjelasannya jelas dan mampu membuat suasana menjadi ceria.Tidak tertekan dan tension. Contoh-contoh ikhtilat antara lelaki dan perempuan dibuat satu demi satu untuk menunjukkan cara perbincangan yang betul dan cacat-cela yang mungkin berlaku dalam hubungan dua hala tersebut. Mula-mula,antara Ketua Umum/Pelajar dengan Timbalannya. Lepas itu,ketua kelas dengan penolong ketua kelas dan seterusnya mana yang patut. Kadang-kadang,ada lakonan yang geli hati dibuatnya. Nampaknya,minda pelajar Al-Amin makin kreatif dalam cara untuk menyampaikan. Alhamdulillah,Allah jua yang Maha Memberi ilham. Sedikit sebanyak,saya belajar semula tentang ikhtilat ini. Refresh semula isi-isinya.




       Dalam perkiraan hidup manusia di bumi,macam-macam benda akan berlaku.Kadang-kadang,berlaku situasi yang tak terduga dan tak terjangka.Bagaimana nak menghandle situasi tersebut,bergantung pada kesedaran minda dan hati untuk menjaganya.
Sukar,memang sangat sukar.
Mencabar,sangat mencabar.

Tapi, itulah lumrah dan jalan kebiasaan orang-orang yang mengejar redhaNya,saya cakap pada diri. Semoga kita tidak sombong dan Allah memberi kekuatan kepada kita untuk laksanakannya.



 
      (sempat membeli :) ~ Boleh layari http://krafhati.blogspot.com untuk
lihat produk-produk krafhati yang lain)




Slot lepas Isya,bertajuk 'Iman & Ukhuwwah Islamiyah' olek Dr. Hanim.

Terimbas saya tentang segala gores-gores luka dan coret-coret bahagia selama saya berukhuwwah dengan manusia.Kata Dr. Hanim,kalau ada masalah dalam persahabatan,mungkin ada masalah dengan iman kita. Serendah-rendah ukhwah itu berlapang dada,setinggi-tinggi ukhwah itu ithar (mengutamakan orang lain). Berkali saya mendengar tajuk ini, saya muhasabah benda yang sama.



Berapa kali je saya betul-betul iklas berlapang dada dengan orang sekeliling..?

Berapa kali je saya mengutamakan orang lain tanpa ada rasa berbolak-balik dalam hati..? 




Sangatlah menghampakan jika kita muhasabah berkali,tapi hasilnya tetap sama.
Adakanlah peningkatan walau sedikit.Tapi banyak sudah tentu lebih baik asal sahaja istiqamah.




         Tazkirah tersebut sekaligus beri kami peluang muhasabah kembali perjalanan yang kami tempuh sepanjang persekolahan. Alhamdulillah..walaupun hanya saya,Taghrid dan Raudhah yang ada ketika itu,cukup memberi kami baja yang boleh menyegarkan kegersangan 'kebun-kebun' yang dibina.Sepanjang talk itu berlangsung,saya dan Taghrid duduk bersama dengan naqibah . Bertanya tentang pelbagai perkara termasuk pendapat tentang Facebook,cerita 'anak-anak' dan hal ehwal sekolah. Saya bersyukur dan masa yang kami ada ini hanya Allah yang Maha Memberi.

 


'...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara... " [3:103]


        Cinta yang kita bina dengan sahabat atas manhaj Allah,itulah yang benar dan akan menghasilkan kebaikan di dunia dan akhirat. Kita tak nak berkawan sebab dia cantik,hensem,kaya,pandai atau sebab-sebab dunia yang lain..sebab kita tahu itu cuma sementara dan bukanlah milik orang itu pun sebenarnya. Dr. Hanim beri perumpamaan berdasarkan ayat 67 ini.

 

 Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). [43:67]


     Ketika sesi soal jawab,ada seorang junior tingkatan 3 bertanya. Junior ini pernah jadi anak murid ******* saya. Soalannya lebih kurang begini;


".....Ana ada lah seorang kawan ni dan kami memang rapat. Tapi kadang-kadang ana rasa macam ana seorang je yang kena jaga hati dia,selalu kena sabar dengan dia. Tapi dia tak..Jadi Dr. Hanim,macam mana yeh,apa yang patut ana buat supaya kefahaman tu dapat dibina antara satu sama lain?..."
(nota: minta maaf,ayat penyoal taklah sebiji macam ni. Saya tulis apa yang dapat sampaikan maksud dari pertanyaan tersebut. harap maklum.)


      Saya duduk dengan khusyuk memandang penceramah dari tepi pentas.Berminat sungguh dengan pertanyaan tersebut lantaran situasi itu saya sendiri pernah alami. Rasa macam diri tak dihargai,dan kita sahaja yang kena mengalah dengan dia.

"Kadang-kadang betul ya kita rasa seolah kita sahaja yang kena korban,sabar dengan karenah dia. Tetapi sebenarnya kita tak tahu entah-entah kita pun buat benda yang sama pada dia. Macam kita rasa kita je yang asyik beralah,tak mustahil kawan kita pun rasa macam tu pada kita sebenarnya. Jadi,kena cek diri masing-masing dulu. Itu satu. Tapi kalau betul memang kawan kita macam tu, ajak bincang baik-baik dengan dia. Cakap baik-baik. Sebab kawan kita ni tak boleh kita nak tegur macam tu je..marah-marah dia. Dia pun ada situasi dia..." , kata Dr. Hanim.
Huh~minta maaf,selebihnya saya dah tak ingat. Sesiapa jua yang hadir (adik-adik junior ku yang membaca ni,dan taghrid dan raudhah,),bolehlah tolong tambah kat ruang komen apa lagi yang kamu dapat. ^.^.


          Dalam minda saya,berlegar-legar 3 perkataan. "Memahami baru difahami". Sebab kita selalu harap orang lain faham kita,faham situasi dan perasaan kita macam mana. Tapi terkurang satu benda,kita sendiri tak faham orang itu. Asyik mengharap orang lain bertindak,tetapi diri sendiri tak bertindak sebagaimana yang diharapkan pada orang lain.




         Perkara penting saya dapat bahawa kita bersahabat,berukhuwwah, berkawan adalah didasari iman kita pada Allah. Iman yang kuat pada Allah membuatkan hati rasa kasih dengan manusia lain dan ukhuwwah itu terjalin dengan izin Allah jua. Bak katatulisan penulis buku L.I, "cinta kepada Allah lah sebenarnya yang menggerakkan cinta-cinta yang lain dalam kehidupan manusia" Kerana itu,kita rasa kagum sangat dengan Ansar dan Muhajirin bagaimana Ansar boleh begitu kuat dalam bersahabat sehingga sanggup berkorban segala benda,harta hatta isteri jua sanggup diberi. Dan bagaimana Muhajirin tidak lah tamak dan terus-terus menerima tawaran yang diberi. Walhal tiada syarat yang diberi,ibarat 'saya bagi,kamu ambil sahaja'.





"Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [8:63]



      Selesai slot malam, para-para naqibah membuat diskusi bersama adik usrah mereka masing-masing di tengah padang beralaskan tikar.Muhasabah mungkin. Sementara itu,saya menemani sebentar naqibah saya di pejabat sekolah. Jika mengikut tentatif,jam 11.30 malam sudah mahu 'ibadah senyap',tetapi lebih kurang jam 12.00 malam,baharulah mereka semua masuk ke dewan dan bersiap untuk tidur. Saya ikut duduk sebentar dengan naqibah-naqibah yang sedang berkumpul mendengar guru naqibah saya berbicara.Tapi,ketika saya datang,diskusi susah pun habis dan mereka sedang bual-bual bercerita. Sedikit sebanyak,saya tahulah juga sedikit masalah yang melanda sekolah ketika ini.Tidak banyak,sedikit sahaja.

          Malam itu,saya rancang untuk berdating dengan Taghrid di walkway seperti hari-hari lalu. Tetapi kami berdating di tempat wudhu' sahaja bersama dengan Elya Iman juga. Selepas itu kami teruskan langkah ke bilik guru untuk tidur. Elya Iman pula harus teruskan hirasahnya di bahagian sekolah rendah. Tapi rancangan tidur tak menjadi,Kak Hanifah pula bercerita bersama kami dan guru naqibah. Asal bersama dengan kakak seorang ini,pasti akan ada benda yang melucukan. ^_^


         Selang beberapa belasan minit,ketukan di pintu membuat kami terkesima seketika. Jam sudah pukul 2 lebih pagi.Rupanya Elya Iman minta bantuan saya dan Taghrid untuk membantunya di sana. Kami duduk di ruang tengah sekolah rendah yang dahulunya menempatkan kerusi-kerusi,sinki dan water cooler. Tapi sekarang sudah benar-benar lain. Sudah ada kipas siling lagi. Di situ,kami bicara soal masa hadapan dan sedikit kenangan indah dahulu. Berkongsi pengalaman cuti dan penat lelah yang hanya sedikit,sekaligus muhasabah kami bersama. AlhamduliLLAH,terasa lepas rindu ini dan kurang beban ini. Segala puji hanya bagi Allah. Pukul 3 lebih sikit,baharu kami kembali semula ke bilik guru.


(bangunan sek.rendah di waktumalamawal pagi)



           Di dalam kesejukan air-cond,kami sambung berdiskusi. Perbincangan jadi makin serius berbanding tadi. Sungguh,hidup ini memang amat memerlukan kesabaran dan ketetapan hati yang kuat. Elya Iman 'ibadah senyap' dahulu sebelum saya dan Taghrid. Banyak yang kami kongsi. Antaranya adalah ujian-ujian yang melanda diri kami dan rakan-rakan serta orang lain jua. "Bila mendengar sahabat bercerita,kita tahu kita tak sendiri dan rupanya bukan kita seorang yang kesusahan",teringat saya pada kata-kata naqibah.


Sungguh,ujian itu sangat indah dan halus seninya dalam mendidik manusia. Bersyukurlah anda terhadap ujian.


Suatu benda saya buat konklusi; ' setiap benda ujian yang menimpa,adalah latihan dari Allah untuk kuatkan kita di masa hadapan yang kita tak tahu apa akan berlaku. Allah lebih tahu. '.


Dan ujian-ujian ini menjadikan saya semakin nampak,hidup ini memang tak lebih dari sekadar medan yang Allah sediakan untuk melihat siapa di antara kita yang paling baik amalnya. Syukur ya Allah,semoga kita lebih nampak lagi.


Dunia hakikatnya kosong,tiada apa-apa yang istimewa.



Jam 4 lebih,baharu kami lelapkan mata.Huh~Sebulan lebih tidak duduk berprivasi berlama-lama,memang banyak benda mahu bercerita dan berkongsi.


         Segala puji bagi Allah,yang menghadiahkan segala-galanya buat saya dan kita. Semoga nikmat rindu yang Allah beri ini menguatkan saya dan kita di hari-hari akan datang. InsyaAllah,ameen ya rabbal 'alameen.




Cuma ambil yang bersih sahaja,yang tercacat itu jangan !




Wassalam.

Friday, February 12, 2010

Sedikit Cuma

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Jumaat,hari yang mulia dan penuh dengan kemuliaan. Dan merugilah siapa yang mensia-siakan masa umurnya.


Wahai jiwa,
bila saat kau sedar kau makin jauh dari Dia,
teruslah rapat kembali padaNya.
Kerana Dia tidak pernah sekali-kali meninggalkanmu.

Wahai jiwa,
dunia ini sangat susah dilepaskan
bagi orang-orang yang mencintainya.
Tetapi dunia begitu mudah dilunturkan
bagi orang-orang yang tahu nilainya.

Wahai jiwa,
jangan masa kau susah,
kau mengingatiNya.
tetapi bila masa kau senang,
kau melupakanNya.

Wahai jiwa,
tenanglah dengan ketentuanNya,
Dia yang Maha Bijaksana lagi sebaik-baik Perancang.
Pengetahuan mu hanya sedikit dan
lebih kecil dari sebutir habuk.


"Hati yang bergantung dengan syahawat terhijab daripada Allah sekadar pergantungan itu."-Ibn Al-Qayyim


Monday, February 8, 2010

Tak Perlukan Itu! 2

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

"...apabila saya masuk alam menengah atas..Jiwa saya teramat kacau. Bukan berkecamuk sibuk-sibuk nak bercinta mcm mereka yg f4 diluar sana (maaf.bukan nak melabel. Itu cuma realiti kehidupan sekarang) Sebab mereka rasa mereka da besar dan parents pon memang x kisah langsung pasal mereka nak berdua-dua atau bercouple-kapel. Saya bangga kata saya bukan org yg sebegitu dan kepada pembaca sila dan tolong doakan saya supaya hati saya tidak dipalingkan dari jalan DIA. Terima kasih!"

Saya membaca tulisan salah seorang sahabat baik saya di lamannya.Dan saya sangat bersyukur punya sahabat seperti dia.Tapi,hati itu Allah yang pegang,bila-bila masa kita boleh kecundang kalau tak kuat.Ramai orang rasa mereka perlu ada teman di sisi untuk meluah rasa,cerita dan sebagainya.Keadaan itu membuat mereka lebih selesa dan terasa diberi perhatian.Katanya,orang yang jantina berbeza lain dengan orang yang jantinanya sama.Memanglah terang lagi bersuluh sangat lain,siapa yang nafikan? Lagi mereka menganggap itu suatu keperluan dalam memenuhi tuntutan rasa kononnya ia fitrah manusia!


Saya tak boleh nak berhujah panjang dengan ilmu yang secetek begini,tapi saya cuma boleh kongsi pendapat dan prisip saya tentang benda ini.Biarlah saya cakap,fitrah itu suatu benda yang suci dan tidak adil dan sangat zalim untuk diletak dalam perkara yang dosa dan maksiat.Anda janganlah keliru sebab sangatlah jauh lagi ketara perbezaannya.



2 tahun lepas,pernah ada adik junior tanya saya;

  "Akak ada **** sesiapa tak?".
  "Maksudnya apa?**** family?**** kawan?...kalau tu semua memanglah ada.", saya buat soal balas. (ayat ni lebih kurang,sebab dah tak ingat sangat yang sebenar)
  "Ala..yela,**** 'orang' lah."


Dengan pantas dan tanpa fikir panjang,saya jawab soalan dia. Jawapan saya membuatkan adik junior yang sangat rapat dengan saya itu pelik.Saya harap saya tidak menipu dengan apa yang saya jawab (insyaAllah,ameen~) :D.Jawapan yang diberi berdiri atas prinsip bahawa saya tak perlukan itu.Bukan saya menafikan bahawa saya tak perlu suka manusia tapi saya tak perlu cara yang salah itu... Kalau mereka kata mereka punya teman istimewa,maka saya pun ada teman istimewa yang lebih istimewa dari mereka punya.Sungguh betul!~


Teman istimewa saya kenal saya dari kecil sehinggalah umur sekarang,dia tak pernah tinggalkan saya kecuali kalau Pencipta kami mahukan dia semula.
Teman istimewa saya juga selalu papah saya kalau saya jatuh,papahannya (adakah perkaataan ini?) kadang-kadang bukan dengan tangan/sentuhan tapi cukup dia keluarkan kata-kata,saya dah semangat.Itulah ibu bapa saya,guru-guru saya,sahabat handai saya,ahli usrah saya malah adik-adik usrah juga. Maka,La haula wala quwwata illa biLLAH!



Saya masih ingat dengan jelas perhimpunan sekolah kami yang terakhir kira-kira seminggu sebelum SPM,guru besar sekolah ada menegur perbuatan segelintir pelajar yang sengaja menambah tanggungjawab sendiri.Tanggungjawab seolah sudah menjadi suami/isteri. O_O. Sedangkan tanggungjawab sebagai anak,abang,kakak,adik jua pelajar belum selesai lagi dan bertimbun hutangnya buku 3 lima,sudah mahu tambah beban 'palsu' di bahu.Oh,manusia memang suka cari padah! Perasaan itu memang muncul semula jadi,tanpa dipinta dan diminta.Fitrah, kamu katakan.

Tetapi setiap manusia Allah kurniakan akal fikiran untuk kamu berfikir dan membuat tindakan dan tiada lain gunanya,untuk berFIKIR.Dengan fikiran kamu di atas dasar iman,mempertimbangkan halal dan haram,laranganNya dan suruhanNya..kamu ambil tindakan yang terbaik buat diri kamu sebagai hambaNya. Jika saya,saya tidak mahu berpaut pada benda yang tidak pasti.Juga tidak mahu mengambil sesuatu yang belum tentu hak saya.Agar nanti,saya tidak menyesal kerana membazirkan umur,masa dan tanggungjawab saya yang sedia ada. Kamu buatlah pilihan,dan apa yang kamu pilih,bersedia sentiasa untuk mendapat hasilnya!



And do not approach unlawful sexual intercourse. Indeed, it is ever an immorality and is evil as a way.
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).[17:32]


"Ada yang tanya kenapa lepas habis SPM masih mahu berahsia lagi?.Ada yang kata kenapa dah habis sekolah  masih 'sombong' juga."


Sebab kita bukanlah begini sebab peraturan sekolah buatan manusia tapi syariat dan hukum Allah jualah yang kita pakai.
Dan bukanlah kita takut sebab nanti pengawas menyibukkacaucatit nama dan mengadadenda,tapi Allah yang Maha Mengawasi itulah yang kita sedar.
Tidak juga kita sombong sebab nak tunjuk kita tak takut orang berilmu dan pengawas,tapi tidak mahu sombong sebab sangat malu pada Allah dan murka Allah boleh hancurkan kita bila-bila masa. (astaghfiruLLAH,na'udzubiLLAH).

"Apabilah kekuatan iman mendasari hati dan perasaan, baharulah dispilin berada di atas jalan yang lurus dapat dilaksanakan. Jika bukan iman yang menjadi pengawas disiplin diri kita, maka sandarannya hanya pada pengawas sekolah dan badan ketua, mampukah disiplin didirikan setelah habis fasa sekolah dan peraturan? Disebabkan iman tidak menjadi pengawaslah, ramai alumni banat yang makin pendek dan jarang pemakaiannya. Disebabkan iman gagal dicanaikan di bumi tarbiyahlah, ramai alumni yang mudah sangat mengikut trend ikhtilat. Benar, disiplin di atas kefahaman itu sangat perlu! Kerana disiplin itu bukan fantasi yang tidak realistik!" -kata sahabat saya-



Kita pun tak mahulah dekat-dekat dengan couple dan yang seumpama dengannya,khuatir nanti ada lanjutan tak terjangka macam drama Mexico yang berepisod sehingga beratus-ratus.Kalau saya berdiri betul-betul di tepi bangunan di tingkat 30,maka tak mustahil dan sangatlah mudah untuk saya jatuh ke bawah dan tak dapat lagi untuk merasa luka.Berbanding saya berdiri di tingkat ground floor,di tempat yang ada penghadang setinggi 1000 meter,maka ini amatlah mustahil untuk saya jatuh dan saya boleh lagi merasa luka. Allah kata jangan dekat,kita pun janganlah dekat dengan zina itu. Janganlah kita rasa kita hebat dan kita boleh elak sebab 


 

"....And no soul perceives what it will earn tomorrow, and no soul perceives in what land it will die. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted.
....Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya"
[31:34]



Hakikatnya,kita memang tak perlu itu.Biar sahaja kita cuma terima dia yang Allah halalkan buat kita.Sebab di situlah keindahannya.Kamu akan rasa indah cuma bila kamu amalkan ia,tak amal cuma lihat memang tak rasa atau susah nak rasa.
Kamu buatlah pilihan yang sesuai dengan diri kamu sebagai hambaNya.Yang paling penting,Allah Maha Menyayangi kamu.


Moga kita diberi kekuatan untuk melaksanakan perintah dan menjauhi laranganNya dengan cara yang bersih,suci,tepat dan jujur di mana pun kita berada. Ameen ya rabbal 'alameen~


Indeed, your efforts are diverse.As for he who gives and fears Allah.And believes in the best [reward],We will ease him toward ease.But as for he who withholds and considers himself free of need.And denies the best [reward],We will ease him toward difficulty.


"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya.Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), -Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik,Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya, -Serta ia mendustakan perkara yang baik,Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;
[92:10]  


~sungguh,cabaran buat saya. Allahumma inni dho'ifun faqowwini... 
 Wassalam. 


p/s:untuk tahu lebih;
http://saifulislam.com/?p=7520
http://saifulislam.com/?p=7508
http://ms.langitilahi.com/bila-kamu-bising-fasal-ikhtilat/
http://ms.langitilahi.com/perkongsian-couplecinta-saya-kata-tidak/

Wednesday, February 3, 2010

Tak Perlukan Itu!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

...Terasa minggu ini agak berserabut dengan pelbagai benda yang belum selesai dan minta diselesaikan segera.Tapi,dengan bantuan daripada sahabat-sahabat,terasa kurang bebannya.AlhamduliLLAH,pertemuan dalam usrah sedikit sebanyak mengubat 'hati' saya dan orang lain juga walaupun ada sesuatu yang hilang.Maksud saya,bukan sesuatu tapi orang.Ketiadaan mereka dalam usrah tempoh hari menyebabkan keadaan sedikit janggal..,lain...,pelik.Aduh,mungkin kerinduan yang menebal sesama kami.Hamdalah~

Dek kerana peralihan perhatian saya terhadap benda-benda lain,idea untuk menulis tersekat-sekat.Kejap datang,kejap pergi balik.Tak hairan betapa banyak post yang ter'draft',termasuklah post-post masa SPM.(aduh!)Tapi bila membaca tulisan ini , terasa saya. InsyaAllah,saya cuba untuk tulis dan melengkapkan post-post yang sekerat jalan dulu.~~Doakan.

Walaupun topik ini saya rasa dah entah berapa kali disebut dalam blog ini (sama ada anda perasan atau tidak),saya tetap rasa macam nak tulis.Teringat kata-kata salah seorang kakak merangkap sahabat baik saya semasa program qiam banat Tingkatan 5 tahun lepas;

"Walaupun benda kita cakap tu pasal benda sama dan pernah cakap sebelum ni,tapi mesti ada penambahan isi walau sedikit.. ".

Maka izinkanlah saya tulis-tulis dan tambah isi lagi,insyaAllah.Sudikanlah..~ Beberapa bulan dan hari yang lepas,saya main lompat-lompat dari satu blog ke blog yang lain.Dan dari blog,ada jugak tersasar sampai pada twitter,myspace dan berapa macam lagi wadah cyber yang lain.Maaf,saya bukan 'spy',tapi sekadar mahu lihat perkembangan minda anak-anak belia, muda dan tua.

Ada yang kebosanan tak habis lagi.

Ada yang cerita-cerita pasal hidup dan kawan-kawan.

Ada yang sekadar tulis dot.dot.dot..................(blank)

Ada yang meluah perasaan yang tak sudah.

Ada yang berisi tarbiyyah dan ilmu.

Ada yang berisi sekadar permukaan putih..(tiada apa-apa)


Tapi,majoriti menulis tentang orang istimewa dan perasaan mereka,terutamanya perempuan.Faham maksud saya? Parah sungguh! Sama ada ia diperincikan dalam 2 hingga 7 patah kata atau lebih dari 350 patah perkataan,ia memang menjurus pada apa yang membuai di hati. Saya bukanlah orang yang suka dan memang tak suka baca pasal benda-benda ini,tapi terasa penting untuk tahu keadaan mereka.Saya redah juga untuk memahami orang dulu baru difahami. Bila baca,kadang-kadang memang timbul perasaan *muak dan *geli,tapi harus kita cuba meletak diri dalam sudut perspektif mereka (bagaimana mereka melihat sesuatu benda/perkara) agar pesanan yang nak disampaikan nanti sesuai dengan jiwa dan apa yang berlaku di sekitar hidup mereka sendiri.Supaya gaya penerangan kena dengan mereka.Supaya dengan itu,mereka lebih faham.
Moga-moga.InsyaAllah.


BERUBAH

Ketika dalam proses membaca,saya teringat beberapa perbualan saya dengan rakan-rakan semasa zaman persekolahan dulu .Saya paling ingat benar pendapat yang ini ;


"selalunya orang tu berubah,sebab..cinta",kata sahabat baik saya yang sering berhadapan dengan manusia yang mempunyai masalah tersebut.

 (gambar hiasan)



Bila difikirkan,ada benarnya walaupun tidaklah 100% .Perkataan yang dia guna pun,'selalunya'.Bermaksud ada juga kemungkinan tidak.WaLLAHU'alam. Sama ada cinta manusia atau cinta ibu bapa atau cinta guru,cinta sesama sahabat mahupun cinta Tuhan,semuanya boleh membawa perubahan.Tiada spesifikasi.Jadi mestilah,perubahan itu sama ada baik mahupun tidak baik,bergantung pada sumbernya.Benar,kalau secara psikologi,manusia lebih mudah bertindak apabila hatinya tersentuh.Kerana perasaan kasih dan sayang itu sudah Allah cipta untuk manusia dan merupakan sebahagian dari rahmatNya yang Maha Luas dan Maha Kaya.

Contoh,tidaklah seseorang akan sudi menderma/membantu mereka yang melarat di kaki lima melainkan kerana ada rasa simpati dan kasih kemanusiaan dalam diri.Ya,sudah tentu ditambah dengan rasa tanggungjawab dan bagi mereka yang punyai kefahaman yang baik,rasa persaudaraan yang tinggi walau siapa pun diamerupakan suatu nilai tambah dari Allah buat jiwa-jiwa seperti ini. Segala puji hanya bagi Allah.


TIADA CINTA

Jika tiada cinta,jiwa manusia akan memberontak.Sebab itu kadang-kadang kita jumpa manusia yang bermasalah selalunya datang daripada keluarga yang bermasalah.Saya pernah jumpa seorang budak yang perilakunya sangat degil berbanding rakan-rakannya yang lain.Jika dimarah atau ditegur,dia akan melawan dengan mecabut serta mengoyak-ngoyak kertas.Kalau ada tangga,dihentak-hentaknya kaki untuk menghasilkan bunyi yang kuat.Kalau ada benda yang boleh dibaling,dia pun baling.Memang terasa panasnya hati.

Rupanya selepas itu baharulah saya tahu,budak berumur 5 tahun itu mengalami suatu kejutan dan suasana yang sukar bagi jiwanya yang masih lembut.Ibu bapanya baharu sahaja bercerai,dan dia sendiri tinggal bersama neneknya,berjumpa dengan ayahnya hanya pada hujung minggu.Ibunya pula sangat jarang ditemui.Jiwanya menagih belaian yang diterima rakan-rakannya tapi tidak dia.Kurang kasih sayang menyebabkan dia memberontak.Saya dengar budak itu makin baik berbanding dulu sekarang ini.AlhamduliLLAH. Semoga dia membesar menjadi anak yang soleh~

Ditambah pula dengan perihal sahabat baik saya yang berada jauh di Timur Tengah.Ceritanya dalam perbualanchatting kami tempoh hari,agak bahaya untuk merasa sunyi di sana.Sebab ada sahaja yang sudi menemani. Kata maknya pula,sebab itu pelajar yang merantau ada boyfriend. (na'udzubiLLAH). WaLLAHU'alam,saya tak tahu sebab saya belum pernah merasa duduk di luar Malaysia seorang diri.



..sambung kemudian.InsyaAllah~

Wassalam.

:::ShareThis:::

Tanya-tanya.