Pages

Wednesday, December 15, 2010

Hikmah di 1 Hari

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


* * * * * * *
      Angin mula menyejuk semenjak beberapa hari ini. Ah!ada juga akhirnya peluang untuk memanfaatkan windbreaker yang sibuk-sibuk dibeli ketika sampai ke sini dahulu. Saya terus menahan sebuah teksi setelah diberi isyarat 'hon' oleh pakcik teksi itu sendiri. Lagak saya tenang sambil menahan-nahan kesejukan yang 'melekat' di tangan.

  "Syurtoh mudiriyah fil balad. (balai polis di balad)". memberi petunjuk sebaik sahaja pintu ditutup. Fuh, hangat sedikit dalam kereta.

Pakcik Arab itu mengangguk tanda faham.

  "Mudiriyati Syurtoh..laisa syurtoh mudiriyah", kata pakcik teksi sambil memandang refleksi bayangan saya di cermin pandang belakang. 
  " Er..ah,mudiriyati syurtoh," balas saya dengan suara perlahan. Malu salah sebut.
  " Kaifa syita dakhilil urdun? (bagaimana musim sejuk di Jordan?)" ..tanya pakcik. Kelihatan garis-garis kedut di mukanya di sebalik senyumannya



       Memang seronok jika dapat pakcik teksi yang peramah dan mudah bergaul dengan kita. Perjalanan kita pun jadi ceria. Kadang-kadang dari situ, pertukaran ilmu dan budaya boleh berlaku. Berbual mengenai Malaysia dan Jordan.Bertukar-tukar bahasa. Ada yang semangat sampai menawarkan khidmat menghantar ke Laut Mati,atau Amman, atau Ajloun dan sebagainya. Ada juga yang tidak mengecaskan apa-apa bayaran sesudah menghantar demi meraikan pelajar-pelajar Malaysia. Tapi.. dunia ini tidak hanya dipenuhi oleh perkara-perkara yang menyenangkan hati kita,bukan? Jika berlaku perkara yang tak disenangi, nak mengomel sikit-sikit silakan..tapi sertakan sekali koreksi diri dan imbasan salah-silap kita yang lalu. Kemudian istighfar atas ngomelan kita tadi. :) 

    Sesudah tiba di mudiriyati syurtoh;

    " Ha,itulah balai polis. Nanti awak turun, awak cakap kat dia nak buat iqamah. " pakcik teksi menyambung keramahannya tadi. Seolah tahu saya ini orang baru di sini. Segera saya hulurkan 1 JD dan mengucapkan 'syukran' (terima kasih). Melihat-lihat kawasan sekitar, saya terfikir mahu menunggu di mana dalam sejuk-sejuk pagi. Bila saya pergi pada pengawal-pengawal yang berjaga, mereka kata sejam lagi. Maka tunggulah saya di luar pintu utama sambil ditemani asap-asap yang keluar dari pernafasan dalam. Huh,kadang-kadang sedikit teruja dengan asap-asap itu. :p Tapi tetaplah kesejukan yang menghambat membuat diri terus berusaha melawan pedihnya sejuk. 

      
         Pagi itu mahu tidak mahu, saya gerak seorang diri. Ya,memang bahaya lebih-lebih di negara orang. Alhamdulillah, segalanya selamat. Bila selamat dan selesa begini, pasti kita rasa tidak ada apa-apa. Kita berjaya menjaga diri sendiri. Bila difikirkan kembali, tidak sesenang itu hakikatnya. Boleh jadi kita selamat kerana hasil doa orang-orang yang mendoakan kita. Doa dari ibu bapa yang tidak henti merisaukan kita. Doa dari rakan-rakan yang ingin lihat kita terus teguh berdiri. Doa dari guru-guru yang penuh harapan mereka pada kita agar terus menyebarkan kebaikan...doa dari saudara-saudara Muslim yang ikhlas. Juga hasil usaha kita (perbuatan/ucapan/amal/etc..) agar tidak sombong dengan Pencipta. Rintih dan terus merintih. Harap dan terus mengharap. 

 IKHLAS. Allah Menyusun semuanya.
Segala apa yang ada pada kita adalah rahmat dariNya semata

* * * * * * *


      Selesai urusan mengambil cap jari, saya mahu segera pulang ke jami'ah (univeristi) untuk menghadiri kelas yang bakal bermula jam 9:30 pagi. Masih ada baki setengah jam untuk berkejar. Saya bertolak bersama seorang kakak senior dan berhenti berdekatan bab iqtisod (ekonomi)*. Alhamdulillah, sempat juga saya melepaskan lelah di kelas sementara jam menunjukkan sekitar 9:20 pagi (agaknya lah).

* sering disebut bab iqtisod kerana Kuliyah Ekonomi berdekatan dengan pintu masuk tersebut


Hikmah dari Dr. Redho Hawariy.


      Kelas dimulakan dengan doa,puji-pujian terhadap yang Maha Agung dan selawat serta salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang mulia. Pagi tu Dr. berpesan agar tumpukan betul-betul pada tajuk yang bakal diajar kerana ia sangat penting.

    "Tajuk ini agak payah..dan memerlukan usaha dari kamu untuk memahaminya.", Dr. Redho berpesan kepada seluruh pelajarnya. Keadannya sedikit tidak sihat dan batuk-batuk. Mungkin akibat cuaca sejuk yang melanda. 

      Kami pelajar Malaysia terus mendengar dengan teliti walaupun agak sukar berbanding pelajar-pelajar Arab yang lain. Percakapan Dr. yang terlalu cepat menyebabkan kadang-kadang kami tidak dapat menangkap maksudnya. Lebih-lebih lagi bahasa yang digunakan semestinya bukan bahasa Melayu. Setelah 1 jam kelas berlalu...dan waktu pun hanya berbaki sekitar setengah jam sebelum kelas betul-betul tamat, tiba-tiba seorang pelajar lelaki Arab mengingatkan Dr. tentang waktu yang makin berlalu. Dr. Redho membalas dan tetap pelajar itu mengingatkan lagi. 

     "Adakah kamu semua pernah dengar dengan nama Imam Malik?", Dr Redho menyoal dengan tiba-tiba. Semua pelajar menjawab ya. Dr sedikit menundukkan wajahnya.
    "Suatu hari Imam Malik pernah berkata pelajarilah adab tersebut sebelum kamu memulai belajar ilmu.", pensyarah terus menyambung bicaranya.

    "Ilmu tidak akan kamu dapat kalau tidak ada adabnya. Ikutilah adabnya, baharu kamu boleh dapatkan ilmu tersebut."
 Imam Malik رحمه الله تعلى pernah berkata kepada seorang pemuda dari kalangan masyarakat Quraisy (keturunan Qurasy); “Wahai anak saudaraku, pelajarilah adab tersebut sebelum kamu memulai belajar ilmu” rujukan;sini] 



       Suasana kelas menjadi senyap. Mungkin ada insan-insan yang sedang bermuhasabah diri dengan kata-kata doktor. Dan saya tidak terlepas dari turut memikirkannya. Terimbau pada beberapa peristiwa di sekolah dahulu, malah terhadap apa yang berlaku di Markaz Lughah (pusat bahasa) sekarang ini. Langkau beberapa saat, pelajaran diteruskan seperti biasa dan Dr. terus mengajar dengan semangat. 
Oh, betapa sabarnya seorang guru!



p/s;
1- baharu blogwalking blog-blog hamba Allah yang lain. Menarik. 'Tercabar' pula rasa~
2- semakin nampak manusia-manusia di sekitar makin dewasa. Sayu. Ada kedewasaan yang membuatkan hati tersenyum. Ada kedewasaan yang membuat hati terluka. Kita manusia bukan penjaga pada setiap orang kan?:( Hanya mampu meminta Yang Maha Menjaga, Menjaga kita dan semua :)
3- tadi tak sangka ayah masih sedang online di Skype walaupun waktu Malaysia sudah 12 lebih (malam). Katanya tunggu saya, kerana dah lama tak bercakap. Hehe.. besarkan pengorbanan mak ayah kita? Astaghfirullah...


"Semoga kita jadi hamba yang soleh dan solehah untukNya". 
Ameen ya rabbal 'alameen~


[sejuk-sejuk malam
rumah,
Irbid, Jordan]
Wassalam.

Friday, December 3, 2010

M.D

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah. ^^.
Walaupun sekarang ni agak sudah lewat malam, tapi perasaan mengantuk itu kurang hadir..mungkin kerana perut sedang menghadam makanan-makanan arab lalu minda saya mengsetkan 'tak elok tidur terus lepas makan'. :p. Ceritanya,pada jam ini (11:00 malam waktu jordan) saya baharu sahaja pulang dari Solah Petra, sebuah dewan yang sering digunakan masyarakat Jordan utk majlis perkahwinan dan majlis besar2 yang lain. Walaupun nama dia 'Petra', tapi dewan ini terletak di Irbid,dekat sahaja dengan jamiah dan rumah. (nama je komersial lebih..).

(di Solah Petra juga pernah diadakan perkongsian sukarelawan LifeLine 4 Gaza, Jun lepas)
    

         Bermula pagi ini dengan markaz lughah,kemudian harus ke Amman untuk 'perjumpaan' di MSD sehingga saya terpaksa 'memonteng'skip kelas muhaddasah. Mujur,saya sempat berjumpa dengan Dr. Rijan meminta izin (tenang bila kita dah jelaskan pada guru. :). Selesai urusan di MSD,berhenti sebentar di rumah senior untuk mengambil barang dan terus ke Solah Petra bersama untuk Majlis Ramah Mesra bersama Delegasi Johor.

    
        Memang hari-hari dan minggu-minggu di sini padat dan sendat dengan urusan yang bermacam. Kadang-kadang urusan yang kita tak duga muncul. Tapi,saat-saat inilah kemalasan sangat pantas menyerang dengan kelicikannnya untuk memundurkan kita. Malas belajar,malas berjalan,malas itu-ini. Terasa mahu berehat 'cukuplah,serabut!'. Tiba-tiba ada benda itu, rancang mahu relakskan diri..tapi tidak semena-mena datang urusan lain. Namun, jika kita semua lihat dengan lebih dalam dan jauh..semua ujian ini adalah penyelamat kita. Penyelamat dari kita terus tenggelam dengan waktu lapang yang disia-siakan, dari jahiliyah halus dalam sedetik niat kita untuk 'berehat' daripaada terus bekerja. Benar kata-kata "jika kita tidak sibuk dengan kebaikan,maka kita akan sibuk dengan kejahatan". Alhamdulillah, biarlah kita terus sibuk~ 


    Lebih menariknya mahu saya berkongsi, tempoh hari, seperti biasa saya bersama seorang rakan pergi ke jamiah. Dan fatrah(tempoh) sekarang ini adalah fatrah peperiksan thani (kedua). Maka dalam berjalan, saya merancang-rancang bila mahu  membaca buku untuk periksa minggu hadapan. Kemudian,saya masuk ke kelas dan mata saya tertangkap gelagat-gelagat budak Arab yang sibuk membelek buku. Ada yang tenang duduk dan ada yang mundar-mandir di hadapan kelas sambil memegang buku. Terasa sesuatu mendesis di hati saya. Lalu saya bertanya pada seorang rakan Arab;

   "Minta maaf. Tapi adakah periksa hari ini?"
   " Ya..periksa hari ini lah."

AllahuAkbar! Rupa-rupanya periksa yang saya sangka minggu hadapan itu adalah 'hari ini'. Kami 3 orang pelajar Malaysia dalam kelas semuanya tidak tahu bahawa periksa adalah pada hari tersebut. Semuanya gara-gara keliru dan kurang prihatin pada maklumat yang diberitahu pensyarah. Maka jawablah kami dengan penuh pasrah soalan-soalan periksa yang diberikan T_T . Alhamdulillah, beberapa hari sebelumnya kami baharu selesai menyudahkan talkhis kitab (ringkaskan kitab), adalah sedikit input untuk menjawab. dan soalan-soalannya lebih mudah berbanding periksa pertama dahulu. Terasa 'sangat jujur' ketika menjawab kerana betul-betul berdasarkan apa yang kami ingat dan belajar melalui syarahan-syarahan doktor sebelum ini. Allahumma solli 'ala saiyidina muhammad... pertama kali menempuh exam ARAB di bumi Jordan ini tanpa mengulangkaji terlebih dahulu. Natijahnya? doa-doakanlah... **


        Dan sebentar tadi di majlis,sempat lagi akak-akak medik membawa nota mereka masing-masing untuk dibaca. Sebenarnya,selalu sahaja begitu. Pergi mana-mana, selalu bawa nota atau setidak-tidaknya buku kecil yang tertulis dalamnya macam-macam maklumat. Yang saya bercakap ini adalah mereka yang hebat-hebat juga dalam amal tarbiyyahnya.(insyaAllah). Bukan semata-mata ulat buku yeh. Mahu highlight di sini, kita ini harus menjaga waktu dan tersusun urusannya. Dan memang kedua perkara ini agak payah...sebab itulah ujian datang untuk melatih! ^^.




       (waktu sudah mahu pukul 12 malam)
    Saya sering berpesan (jerit-jerit dalam diri) pada diri saya untuk jangan membazir waktu,jangan malas dan penuhilah ruang-ruang waktu yang ada...jangan sampai ia diisi angin yang berlalu semata. Saya dapati sangat payah untuk terus beriltizam dengannya...setiap kali harus melawan perasaan dan nafsu yang ronta-ronta. Tapi kita MESTIlah MAHU terus melawan kan? ;). Biarlah kita terus mahu SIBUK agar kita tidak sampai terasa lazatnya kelekaan. Na'udzubiLLAH min zalik. semoga kita sama terlindung~.



*Untuk yang tertanya M.D itu apa..?
M.D = Muhasabah Diri. (=)

(~suka nak tiru ayat seorang akak ni); (tiru utk post ni je ye kak..:D)


"pusat pemulihan akhlak",
Irbid,Jordan.


Wassalam.

Monday, November 22, 2010

Siapa?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

~ sekitar jam 5:30 petang dan selesai solat Maghrib. (waktu sudah awal, malam sudah panjang!)



(sekadar gambar hiasan.......   tapi bermakna :D )


Seseorang: Terfikir siapa yang nak bawa Islam kat 'sana'?




Kita: Kenapa? Takde ya yang belajar di sana?




Seseorang: Takde. Dekat sana..sangat kesianlah tengok diorang. Pagi-pagi bangun, buat kerja macam-macam,bagi makan lembu dan binantang ternak semua..lepas itu macam tu je. Hidup tanpa arah tujuan. Kerja penat-penat tapi akhirat nanti tak bawa apa-apa. Kesian tengok mereka yang dah tua-tua...




Kita: emm..kalau nampak orang Islam kat sana, macam mana diorang layan? Pelik ke atau biasa-biasa je?




Seseorang: Biasa je...Mula-mula nampak tu macam memangla pelik..kitorang senyum je. Tapi biasa je diorang layan.




        Pendengar-pendengar semua tunduk ke bawah sambil mata berpusing-pusing melihat bungkusan biru emas yang membalut coklat dengan kemas.'Kepala' sampul dipusing seakan-akan membentuk bunga. Magnet yang diukir seolah lukisan menara dan jambatan diamati dalam-dalam sambil dimain jari-jemari.




Seseorang: Kat sana perempuan-perempuan dia takde pun nak malu. Maksudnya kalau ada perempuan yang pakai dedah-dedah tepi jalan,itu perkara biasa kat sana. Tepi-tepi jalan pun ada orang minum arak.


 kita semua memandang sambil tersenyap




Seseorang: Yela..negara kafir kan..(penduduknya adalah orang bukan Islam).




Kita : Ada orang mabuk tak? (kat tepi jalan)




Seseorang: Kitorang takdelah nampak pun...
Tapi negara diorang sangat bersihla. Cantik dan kemas je..




Kita: Pelik kan? Terbalik~ 




    Soalan mula bermain-main dalam minda. Soalan yang sudah berabad lamanya..

Seseorang: Orang kat sana sangat hebat cabarannya. Sebabnya diorang dah lama cuba cari kerja tapi tak dapat sebab pakai tudung. Kalau nak interview, kena bukak tudung baru boleh..Sekalipun orang itu PHD..dia tak nak jugak sebab pakai tudung.




Kami: (...mendengar dengan penuh perhatian~




Seseorang: Tapinya ada seorang ni..dia kerja jugak sebab nak cari duit kan. Dia kerja sebagai cleaner. Dia hanya kerja bila bos dia balik..maksudnya waktu malamlah baru dia kerja.




Kami: Ooo...eh,tapi kenapa? (faham tapi macam tak faham)




Seseorang: Bila bos dia balik,barulah dia boleh kerja. Sebab dia pakai tudung! (senyum). Bos dia tak nampaklah yang dia pakai tudung. :)




Kami: Memang bos dia yang suruh kerja waktu malam ke?




Seseorang: Taklah..dia sendiri yang mintak.




Kami: Kawan-kawan kerja dia yang lain tahu lah yang dia pakai tudung? Takde yang beritahu bos?




Seseorang: Tak tahu..entahlah.




Kami: Oo..jadi masa interview macam mana?




Seseorang: Oh..yang tu tak tahu macam mana interview dia.


         Suasana senyap. Terasa sejuk dengan angin luar yang menceroboh masuk melalui lubang-lubang tingkap.



Seseorang: em~ tapi kita pula kat sini (hidup di negara yang 'wujud Islam') yang ada peluang banyak untuk tahu dan faham Islam, tak nak pulak dan mengeluh. Tak ambil peluang untuk diri sendiri. Orang-orang kat sana sebenarnya bukanlah dari sekolah agama..diorang kenal Islam pun bila diorang sampai kat 'sana'. Hebat kan? :D (sambil tersenyum)


Kita: iye?? (semua tarik senyum sampai ke telinga. Kagum dengan perancangan Allah yang Maha Hebat) 







Seseorang: ...... pelajar-pelajar sains,medik,engineering semua ni..biasanya kata ' nak cipta satu benda yang hebat untuk Islam',macam-macam dan sebagainya...tentang ini, ~~~~ cakap "jangan harap, memang tak boleh". 




Kami: (sedikit mengangkat kening = tanda pelik)




Seseorang: Sebabnya orang-orang Barat dah sangat maju dan jauh meninggalkan kita...teknologi dan kemajuan semua mereka dah kejar. Maksudnya untuk sekarang ini, bukan itu yang kita nak kejar (sebagai prioriti utama)..tapi tinggalnya pada kita adalah untuk membina peribadi. Membina rijal-rijal (peribadi Muslim yang mantap). 


Sebab kalau takde peribadi yang mantap, takde semua benda tu. Bila kita bina rijal-rijal barulah ada teknologi  dan segala kemajuan diwujudkan.  Pendek kata, AQIDAH lah asasnya. 




(Ok,cuba bayangkan kita ada teknologi yang mantap, kemajuan yang hebat-hebat bertaraf mega super..tapi peribadi kita adalah peribadi yang runtuh, hidup hanya untuk dunia, makan minum dan sebagainya. Maka kita adalah tidak ubah seperti mereka [negara yang diceritakan dalam perbualan]. Sebaliknya apabila ada orang-orang yang mantap aqidah, luas pengetahuan, kuat tubuh badan, tersusun urusannnya, bagus peribadi dan akhlak..kita akan boleh mencipta kemajuan-kemajuan yang bertaraf mega super duper. Kerana sumbernya (orang-orang yang bagus tak menahan) sentiasa ada.~)




  Magnet yang seolah lukisan menara dan jambatan diamati lagi. Melihat dan berfikir.




Kita: er..siapa punya kata-kata ni tadi kak? Doktor akak?




Seseorang: Syed Qutub.




Kita: Ooohh..Syed Qutub! Em~..dan Syed Qutub mengeluarkan kata-kata itu sejak zaman dia.




Seseorang: Haah, betul! Kata-kata ni dari zaman dia lagi..kalau sekarang..




Kita: ...sekarang entah macam manalah.


~senyap.lihat.fikir.~



Seseorang: ok, dah. (dia yang merupakan pelajar sains senyum,bangun dan bergerak ke bilik..sambil menggendong harapan & kerja yang BESAR buat Islam)






"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, -
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."
(An-Nasr:1-3)


Tuesday, November 9, 2010

Hari-Hari Istimewa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

~cepat,cepat masa berjalan. 2010 sudah mahu sampai hujung, yang UPSR sudah selesai, yang PMR sudah lega,yang SPM masih debar (^^..teringat zaman dulu. Ma'at taufiq!), yang STAM sudah tenang, mahasiswa mahasiswi ternanti-nanti cuti aidil adha...  kemudian ada yang periksa! =.=

    Kali pertama saya menyambut 'hari itu' bukan di Malaysia. Terasa seperti tahun ini sedikit istimewa. Bukanlah kerana saya mendapat hadiah yang banyak (ada la sikit-sikit..^^)..tapi,


  • 'Kebetulan' ia bersamaan dengan 1 Zulhijjah. Bermulanya 10 hari yang penuh barakah dan penuh ganjaran. 10 hari yang awal disediakan ganjaran yang melimpah-limpah dariNya...bonus ini buat mereka yang mahu. Sekadar berpesan pada diri saya agar lebih berkorban untukNya, banyak lagi yang harus diperbaiki dari segala aspek sama ada dalam diri atau luar diri. Juga perlu tingkatkan ibadah dan ikhlas untukNya semata. Simpulnya,perlu lebih banyak muhasabah diri...sangat banyak kekurangan & kelemahan yang perlu ditampung.

“Tidak ada hari-hari untuk beramal soleh di dalamnya yang lebih dicintai oleh Allah melebihi daripada hari-hari ini.” (iaitu sepuluh hari) Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, tidak pula jihad fî sabilillah?”. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Tidak pula jihad fî sabîlillâh melainkan seorang lelaki yang keluar jiwa dan hartanya (untuk berperang), dan dia tidak kembali membawa sesuatu apapun.” [Sunan Abi Daud: 2438, Sunan at-Tirmizi: 2438 dan beliau menyatakan ia Hasan Sahih Gharib] Penerangan: Maksudnya sepuluh hari pada awal bulan Zulhijjah.


  • AlhamduliLLAH,2 hari sebelumnya, hati diisi (insyaAllah) dengan pengisian Dr. Hafidzi yang bertandang ke Irbid bersama isteri beliau, makcik Zu. Kedatangan mereka membuatkan saya terasa seolah berada di Malaysia..dan seolah 'ayah-ayah' kami melawat kami di sini. Lebih-lebih lagi dr. Hafidzi ada berkata : " Kami ni macam mak ayah jugalah yang datang melawat " . Rasa sangat bersyukur dr. dan makcik Zu sudi berkongsi peringatan buat kami di sini yang sememangnya sangat perlu kepada booster semangat (lebih-lebih lagi yang tahun 1 ni). Secara keseluruhannya, perkongsian dr. berkisar tentang GOLONGAN MUDA.                                                                                     Kita tahu bahawa masa depan sesebuah negara bergantung pada pemuda-pemudinya. Begitu juga dalam rentetan rekod-rekod hebat perjuangan Rasulullah, mereka yang berada di barisan hadapan adalah golongan pemuda. Tapi, apa maksud 'golongan pemuda' yang berjuang bersama Rasulullah? Umur berapa baru boleh dikatakan pemuda?..Sebenarnya, kalau kita lihat kembali pada episod sejarah Islam, golongan muda mereka adalah seawal budak berumur 10 tahun. (cth, saidina Ali r.hu), ada antara mereka yang berumur 13 tahun (cth Asma binti Abu Bakar yang menghantar makanan & minuman ke Gua Tsur) dan banyak lagi kisah2 sahabat yang 'bawah umur' ini dalam membantu perjuangan Islam * mungkin pembaca boleh belek-belek kitab Sirah ataupun search sahaja di internet canggih ni,yang popular dalam kalangan muda-mudi sekarang. :)* banyak lagi hikmahnya,insyaAllah di ruang waktu dan kesempatan yang lain ya. 
          Pengisian dr. membuat saya terasa saya ini sudah tua. Memang sudah 'tua'...jika dibandingkan dengan para sahabat Rasulullah yang hebat-hebat. 

  •         Hidup di sini jauh dari keluarga, maka kawan-kawan dan kakak-kakak lah yang menjadi 'keluarga kedua' saya di sini. Tahun ini walaupun tak dapat makan kek bersama family di Malaysia..tapi di sini ada kakak yang membuat kek cheese-blueberry with digestive biscuit (main letak je nama ni..^^) untuk kami makan bersama dalam usrah. Bila pulang, dapat pula kek oren yang dihias dari dua orang kakak medik+dentist yang tinggal serumah. ^^. Alhamdulillah.
(kek cheese-blueberry with digestive biscuit....:>)


(kek oren dihias dengan skittles* tak tau apa nama gula2 tu*)


  •          Hari selepasnya pula ada kelas perkongsian bersama Syeikhah Umaimah. Kelas ni lebih berkonsepkan 'kelas bedah buku' dalam Bahasa Arab dan diadakan setiap minggu (insyaAllah). Kami gunakan kitab "Tanbihul Ghafilin" oleh Abul Laits As-Samarqandi. (buku ni sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, rasanya BM pun ada juga kot). Syeikhah mulanya menyentuh bab "Keutamaan Hari-hari Yang 10" ( باب فضل ايام العشر), kemudian berpindah pada kertas yang Syeikhah edarkan pada minggu yang sebelumnya. Juga tentang 10 hari awal Zulhijjah. Yang paling-paling 'menyentak' kami semua antara amalan yang digalakkan dalam 10 hari awal ini adalah sekurang-kurangnya untuk khatam Al-Quran sekali, caranya dengan membaca 3 juzu dalam 1 hari.                     

          Syeikhah : "صعب؟" 
          Kami : " .....نعم"
          Syeikhah : " cuba kamu buat  dari lepas subuh sehingga matahari naik,1 juzuk. Lepas zuhur hingga terbenam matahari,1 juzuk, Dan selepas maghrib hingga terbit matahari 1 juzuk..semuanya 3 juzuk. :D"
          Kami : "..................


Mungkin disebabkan ini semua saya terasa sedikit istimewa..tapi bak kata mesej yang dihantar Kak Nuha

   "If only you knew even a fraction of how much God take cares of you in a single day, you would smile for eternity..maybe you think today is special because it seems like the world cares for you when everyone whishes you..but the fact is everyday is special with Allah's Love."


Tepat. Tiap-tiap hari Allah Menjaga kita, tiap-tiap saat Allah Menjaga kita. Tiap-hari juga kita mendapat hadiah dari sahabat-sahabat kita (doa yang tulus ikhlas)..Tiap-tiap masa juga Allah sediakan peringatan (Al-Quran, segala ciptaanNya) untuk kita fikir dan hayati. Maka,bukankah tiap-tiap hari juga adalah istimewa? ^_^. dan 10 hari awal ini dan seumpamanya ibarat satu bonus kepada keistimewaan hari-hari ini.



# Banyak lagi harus muhasabah,banyak sangat kena perbaiki dan perbaharui. Sungguh, saya insan lemah yang teramat. T_T


Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).






Selamat Berkorban!
Selamat Aidil Adha!


(ini replika kaabah yang dibuat sahabiyah-sahabiyah Arab di Musolla Kuliyah Syariah Yarmouk sempena raya haji. ^^ kreatif amat mereka!~)




Wassalam.





Sunday, October 31, 2010

Ia Menjengah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




Untuk ke berapa kalinya, memori-memori di sana datang lagi bermain di kotak fikiran. Entah kenapa,sering mengambil tempat tatkala keadaan sunyi. Kerana akhlak insan-insannya yang mencuri hati. Mungkin juga kerana tempat itu 'guru' pertama yang mengajar saya untuk berdikari hidup sendiri. Wallahu'alam....tapi saya sayu bila terkenang. Teringat segala hikmah-hikmah yang wujud di sana. 



teringatkan alunan istighfar Muallim Zulkifli yang memenuhi musolla sekolah
bicara hikmah muallim ketika mengajar
kata-kata akhirnya pada saya sebelum saya berpindah

usikan tak henti dari Muallim Buang
bijaknya muallim berhujah tentang mantiq
analogi-analogi yang kreatif dan tak kurang kelakarnya

sabarnya Muallim Halim
walaupun beralih perhatian murid daripadanya
terus semangat mencurah ilmu

gigihnya Muallimah Zaiton
menerap tarbiyah pada anak-anaknya
juga pengorbanan tak henti buat kami

...........


sahabat-sahabat saya baharu selesai periksa.Mabruk! semoga najah~
jujurnya tenpoh berada di sana memang tidak menyempatkan saya untuk berkenalan dengan ramai orang. Terutamanya pelajar sekolah menengah. Hanya kenal beberapa orang banat yang duduk di asrama,itu pun 'sekadar kenal-kenal'..serta beberapa orang dari tingkatan lain.


Apa yang membuatnya begitu istimewa di hati?
saya sendiri tidak ada jawapan.


.saya sayu dan rindu.
semoga Allah Memberkati. Ameen.


"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya,..." [7:56]


~catatan shita' awwal~
30.10.2010
maaf,catatan di Jordan belum ada lagi...insyaAllah,akan.

Sunday, October 17, 2010

UIA: Antara Tangis dan Cinta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

(terjemahannya: Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Lokasi: Nilai)

Hari itu saya bagai tiada rasa. Walhal,hari itu merupakan hari yang sibuk buat saya jua orang lain yang terlibat. Sudah mahu mendaftar? Baik,daftarlah. Saya ditemani mak dan ayah tercinta bertolak ke Pusat Asasi UIA, PJ untuk urusan pandaftaran dan bakal menjalani minggu orientasi di sana. 

'Seminggu orientasi?'-, saya mula rasa 'bermalas-malasan' dengan bilangan hari yang terlalu lama. Mengah pula jari ini jika saya ceritakan satu demi satu yang dilalui di PJ. Faham-fahamlah minggu orientasi. Tapi, untuk seminggu itu, jujurnya saya mengalami tekanan emosi yang hebat + teruk. Tambahan pula terasa hati dengan 'beberapa pihak' ketika urusan pendaftaran pada hari pertama. Tidak mengapa,saya cuba memahami. Semuanya seperti teramat baru bagi saya. Mujur, sebulan belajar di Ipoh mengubat sedikit rasa terkejut yang saya alami. Mujur juga ada seorang sahabat serumah saya di Ipoh dahulu turut mendaftar di UIA dan sama pula jurusan dengan saya. Alhamdulillah, sekurangnya saya punya seorang teman untuk meminjam bahu. Selesai pendaftaran, terus naik,naik dan naik untuk ke bilik dan mengemas beg.



Bilik oklah..saya tidak begitu kisah sangat tentangnya. Seminggu itu jadual agak padat juga dengan pelbagai taklimat sana-sini. Dan kesibukan ini juga yang membuat saya tidak begitu melayani perasaan. Cuma ada jugalah waktu-waktu yang saya tak tahan sayu amat. Tapi bila difikirkan kembali, ke'sayu'an itu 'berguna' juga bagi saya...sebabnya bila saya menyendiri,peluang untuk saya berkenalan dengan rakan baharu lebih luas. 


(dalam library di UIA,PJ-ruang muslimat)

Saya pergi kafeteria sorang-sorang dan main duduk je dekat kerusi yang kosong langsung berkenalan dengan orang baru. Saya bersiar sorang-sorang dan main sapa-menyapa je orang-orang yang lalu sebelah saya. =D. Tapi hakikatnya, dalamnya tetap perit menanggung rasa. Jika saya rasa tak boleh tahan sangat, saya mesej2lah housemate Ipoh saya..Maryam Rufaidah, ;)..[kesian maryam kena layan saya :p]. ~terima kasih maryam kerana mengubat kesedihan ana.T.T~ Sungguh,dia banyak menyalur kekuatan pada saya ketika di sana. Terima kasih juga Izyana kerana menelefon saya saat saya sedang goncang. Terima kasih Nasreen,'Aqilah,Ain,Nadiah,Zafirah kerana tak jemu menghantar mesej pemberi semangat.. Dan teringat waktu saya bercakap dengan naqibah saya (dlm telefon) di tepi padang besar yang sunyi lagi sepi, ditemani ***** tak menahan memikirkan saya tak dapat menghadiri usrah bersama mereka ketika itu.Huhu :>


(di tepi padang ini..)


SELEPAS SEMINGGU...

kami ditransfer ke Nilai. Pusat Asasi bagi mereka yang mengambil jurusan sastera adalah di Nilai. Dalam kepala saya cuma fikir..."nak balik!","nak balik!". Sebolehnya saya dan Maryam ingin mendapat dorm yang sama..tapi akhirnya Allah Menghendaki yang lain. Kami dapat blok yang berlainan dan bilik kami pun hujung dengan hujung. Dan..tingkat paling atas pula tu!.Maryam di hujung sana, saya di hujung lagi satu. Alhamdulillah, blok kami bertentangan je pun. Sungguh,ada hikmah yang besar~



 (sekitar Mahallah Zainab Al-Jahsy,PJ)


(antara idea kreatif committe TaWe 10 (taafuf week) ketika malam kemuncak)


Saya hairan suatu perkara. Yang saya cerita dalam ini semuanya berkaitan kesedihan saya di sana, tapi di sana orang nampak saya sebagai seorang yang agak ramah dan normal..(haha).Memang ketika melalui semua-semua perkara di sana..saya 'wujud' bersama persekitarannya.
Saya fikir cuma satu....

Allah sahaja yang Memberi kekuatan pada saya dan pertolonganNya sangat halus sehingga kadang-kala kita tidak sedar. 

--I am so strong when I am so sad--
=). Alhamdulillah tsumma Alhamdulllah =)

bersambung....


Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
[Al-Ikhlas:1-4]

Monday, October 11, 2010

الأمين

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


sedang asyik menyelongkar kembali thumbdrive,
yang di dalamnya terkandung beratus-ratus kilobyte hasil penempatan fail-fail zaman sekolah
saya terjumpa video ini..


video


.sayu menyapa.

dari kejauhan,saya utuskan SALAM.




"(Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti)." 
[Qaf:6]

Saturday, September 25, 2010

Kasih Dalam Sebulan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang




'ah, teriknya!'

  Mendesis memikirkan hidup sekarang bukan lagi macam dulu. Tiap-tiap pagi bangun awal,siap-siap,sarapan dan terus jalan ditemani bunyi derap-derap batu jalan tar. Berjalan hirup udara segar dalam pagi yang masih gelap. Balik pula harus ulang rutin sama seperti ini..Kalau cuaca sejuk,nasib baik.Taklah letih sangat. Tapi bila panasnya membingit, pasti akan berpayung di petang hari. Memang boleh makin hitam kulit macam ini.

Alhamdulillah!

Itulah kebiasaan pelajar-pelajar STAM yang tinggal di asrama/rumah sewa yang bersekolah di lokasi kaki gunung itu. Semuanya fikir sendiri. Bila nak makan, bila nak bersih diri, bila nak bagi waktu pada baju,buku,rumah dan pasar malam. Lebih penting lagi masa untuk tarbiyah. Tapi saya kira keseluruhannya adalah proses tarbiyah. Proses mematangkan diri untuk berdiri di kaki sendiri. Tarbiyah agar disiplin itu dipupuk oleh hak empunya badan, tidak disuruh tidak pula diperhati orang. Hanya Allah yang Maha Memerhati.

Ini kisah 5 bulan lalu. Keputusan yang dibuat selepas 3 bulan main-main...tidaklah main-main. Sebenarnya 3 bulan awal itu juga diisi dengan perkara lain..:p. Selepas berputar-putar berfikir, saya dan 2 orang lagi rakan berkeputusan untuk belayar perak. (bukan berlakon ye). 

Tapi kenapa tidak belayar Selangor je? 
Kan ada berlambak sekolah yang menawarkan STAM.. kat sini?

Ala...tak best, dekat sangat!. 

Saya pilih kaki gunung untuk bertapa merasa kejauhan dan mendidik diri untuk jauh. Sekali sekala terasa nak mengembara jugak..hehe. Lagi pula, sekolah tersebut 'sebumbung' dengan sekolah saya yang lama. Lagi pula, memang biasanya sekolah itu yang menjadi pilihan senior-senior dahulu untuk menyambung STAM. Namun yang paling utama, sistem tarbiyah jua yang menghambat diri saya untuk tidak memilih pelbagai sekolah glamor yang lain.

sungguh,


berhasil sampai ke sana bukan juga satu proses yang mudah. Saya bermain dengan konflik diri. Jauh dari rumah...untuk balik satu hal,untuk pergi satu hal. (utk pengetahuan,saya tak bawa kereta ke sana!). Kewangan juga mak ayah saya banyak korbankan. :( Tapi saya tahu, bagi mereka ia bukan satu bebanan. Ikhlas ibu bapa ingin anaknya mendapat didikan tarbiyah dan ilmu yang baik tidak pernah berupa satu bebanan buat mereka. Ibu bapa anda juga begitu kan? Perngorbanan mereka hanya ingin dihitung Allah. Ameen :)



Maka tiba saya di sana..menetap di rumah sewa bersama 2 orang rakan lagi. Kami sama sekolah. Lepas seminggu, alhamdulillah..pendamping baru datang mendaftar dari selatan. Dari Al-Hidayah JB. ^^.  Bersepuluh kami duduk di rumah itu. 10= kami ber3 + muallimah ber7. Pertama kali duduk sebumbung, sungguh banyak benda harus mula belajar. Ya,perkara-perkara yang saya sebut di atas sebelum ini. 2 orang kakak senior dari SMIH Jeram jua yang banyak bantu kami. Seronok duduk serumah...malam-malam buta boleh pakat untuk makan-makan. Nanti ada lah sapa-sapa yang rajin tolong buatkan...:p. Belajar,masak,riadhah, basuh baju dan pergi beli barang semuanya bersama.

tapi..


tidaklah rumahtangga itu sentiasa bahagia. Kadang-kadang ada juga goncangnya. Ah! pahit mana pun..ia mengajar kami untuk toleransi, kerjasama selesaikan masalah, jaga hati, jangan marah dan..berlapang dada. Biar yang baik itu jadi teladan, dan buruk itu kita lupa-lupakan dan jangan diingat-ingatkan. Jua hati-hati. Benar pahit! Biar ia jadi rahsia yang disimpan sahaja. Semoga Allah Menolong untuk perbaiki.. :)

Sudah! Ini kisah di sekolah pula.


Pertama kali masuk ke kelas,.berair-air kami dibuatnya. Panas. Kelas yang digunakan memang baru tapi sebenarnya ia adalah pejabat....tanpa kipas siling. =.=. Sementara tunggu kelas STAM yang sebenarnya siap, kami gunakan dahulu kelas tu. Kipas berdiri pula pada masa itu hanya ada satu. Biasanya diletak di hadapan...bermakna hanya pelajar lelaki sahaja yang merasa angin. (pelajar lelaki duduk di hadapan,pelajar perempuan di belakang). 


Fakta nyata, duduk di sana memang sihat.


Pagi-pagi lagi, keluar seawal 7 pagi dan berjalan dalam lebih kurang 0.5 kilometer. Memang sihat kerana pagi-pagi sudah berpeluh. Sebab itu, selalu jugak jadi rutin harian kami,masuk2 kelas selepas letak beg semua..kipas menjadi destinasi kami buat penyejuk badan. :p. Terpaksa~..0_0 === Minggu pertama, kami harus selesaikan urusan buku. Buku tidak perlu beli, hanya pinjam dari pihak sekolah. Tambahan,silibus buku STAM sudah mula menggunakan buku teks. Berat-berat jadinya. Jua nota-nota madah (subjek) yang kami harus fotostat dari rakan-rakan. Alhamdulillah,mereka semua prihatin dan sudi membantu. :). Mula mengenali sistem-sistem sekolah dan jadual kelas. Perhimpunan diadakan pada hari Jumaat, SPPM pada hari Rabu. Jadual kelas STAM agak sedikit berbeza dan pening nak faham mulanya. Ada hari yang habis kelas lambat..ada pula hari yang kami boleh pulang seawal 12:30 tengahari. Saat ini kerinduan pada sekolah lama menebal teramat..T.T

Saya TERHARU

dengan prihatinnya muallim-muallim di sana. Guru yang mengajar STAM semuanya adalah guru lelaki. Sangat kontra dengan sekolah saya yang lama di mana dalam banyak-banyak subjek, hanya seorang/2 orang guru lelaki yang mengajar kami. Di sini, nah...semuanya guru lelaki! Sungguh,hari pertama belajar saya sudah dapat merasa sikap prihatin dan kasihnya mereka pada pelajar-pelajar. Tidak henti-henti muallim bertanya hal kami dari urusan buku-buku,nota-nota hinggalah kondisi diri. Jika nota tak ada, muallim akan fotostat kan. Saya ingat ketika subjek 'Arudh (belajar tentang syair arab dan prinsip-prinsipnya), Muallim Abd Halim...sanggup ulang semula dari awal semata-mata kerana kami baru masuk.Minggu depannya, ada lagi pelajar baru masuk..muallim ulang juga balik.~ Rakan-rakan STAM yang lain juga tidak kisah..sambil-sambil tu mereka dapat ulangkaji juga. 


Walhal,sebenarnya mereka sendiri juga sedang kalut dengan pembelajaran madah-madah secara ekspress memandangkan periksa penggal 1 pun tidak jauh lagi sebenarnya. Kerana guru STAM tidak cukup,maka pembelajaran sebenarnya berlaku dengan agak lambat. Itu belum ditambah lagi,kadang-kadang kelas tidak ada guru yang masuk disebabkan muallim dipenuhi hal lain..meeting,kursus dan sebagainya. 

Muallim-muallim di sini.....

semuanya tetap bertungkus-lumus memberikan 101% untuk meluangkan masa dan mengajar pelajar STAM. Kelas tambahan hari Sabtu/Ahad pun muallim sanggup buat untuk kami walaupun kehadiran sangat tidak memuaskan. Cuba bayangkan, tidak cukup guru sampai ada subjek wajib STAM yang kami tidak ada guru untuk mengajar. Nak tak nak, harus belajar sendiri dahulu. Subjeknya bukan senang macam ABC dan alif ba ta.Kesemuanya bahasa arab dan perlu pada ketelitian yang mendalam untuk memahami ayat-ayatnya. Saya bangga...rakan-rakan STAM saya semuanya kuat semangat untuk terus belajar dan ulangkaji sendiri. Tapi,alhamdulillah..saya dengar sekarang guru-guru STAM semua dah lengkap. Tiada lagi lompong-lompong subjek yang tidak diisi. Allah juga yang Maha Menolong.


Saya rindu...


belajar Tauhid dengan Muallim Zulkifli (a.k.a pengetua sekolah). Saya suka cara dan gaya muallim mengajar. Seronok dengar muallim bersyarah dan bercakap di hadapan. Muallim ini sangat fatherly, bagi saya. Macam Muallim Saudi di sekolah lama saya dulu ^_^. Paling-paling, sewaktu kami ada program LKD di Serdang, muallim sanggup memandu dari Ipoh ke Selangor dengan KERETA muallim semata-mata untuk hantar kami. Lepas hantar,muallim balik Ipoh semula. Berapa banyak kos minyak kereta,masa, wang dan tenaga yang muallim korbankan. Juga Muallimah Zaiton (guru tarbiyah sekolah dan naqibah usrah kami)..pernah juga muallimah tumpangkan kami dengan kereta muallimah. Pulang pula kami harus naik KTM. Tiket-tiket semua disponsor,..sampai di Ipoh pada malam-malam buta, muallimah zaiton juga yang uruskan untuk menjemput kami dari stesen kereta api Ipoh dan menghantar ke rumah dengan selamatnya. Semoga Allah Menghitung penat lelah mereka.


saya rindu juga..

Muallim Buang yang tak kering gusi jika duduk di kelasnya. Hakikatnya,saya rindu untuk belajar subjek Mantiq dengan muallim. :). juga subjek Faraidh. Paling saya ingat kalau ada siapa-siapa yang tidur dalam kelas,pasti muallim akan cakap pada pelajar itu

" Awak mumtaz!"...sambil ditemani senyuman meleret-leretnya.

kenapa mumtaz? sebabnya muallim kata dalam sejarah STAM kat sini, pelajar -pelajar yang mumtaz dalam periksa semuanya tidur dalam kelas. Wallahu'alam. Saya juga tidak terlepas, rasanya tak pernah ada satu hari yang saya tidak TERtidur walau sedikit...isy2~. :(. == Juga Muallim Abd Halim, Muallim Azimi, Muallim Yusri. Semua mereka ini telah membuat hati saya luas dengan perhatian yang mereka berikan. Kekurangan semuanya kita tolak jatuh. Ikhlas mereka menutup semuanya.

terkenang..

saat-saat dengan rakan STAM. Pai (panggilan dia) yang saya suka dengar loghatnya apabila dia bercakap. Kenangan waktu bungkus hadiah sempena Hari Ihtifal mereka. Saat membeli hadiah untuk urusan LKD, merentas jalan raya yang besar dipenuhi kereta membeli barang dapur,pulang dari sekolah dengan berpayung dan kadang-kadang rasa takut bertembung dengan anjing. Di tengah perjalanan ke rumah, pasti bertemu papan tanda 

"Jalan Usaha".

seolah memberi semangat untuk kami sampai ke rumah dalam panas terik yang hangat. Juga kenangan ketika bertembung sahabat-sahabat AIM di Megoplex. Kenangan berusrah di rumah Umi dan makan-makan.Muallimah Zaiton lah yang membawa kami ke situ.





Cukup sebulan..

saya dan 2 orang lagi rakan berhenti dari STAM. Keputusan yang sukar untuk dibuat. Masing-masing kami mendapat tawaran dari IPTA. Keluarga menyarankan kami untuk terima tawaran tersebut. Perasaan di hati maklum....sayang untuk tinggalkan. Terakhir kami berkumpul adalah di Shah Alam, ketika menghadiri sebuah malam amal. Terasa sayu kami 'ditinggalkan' di Selangor..sedang rakan-rakan yang lain pulang ke Ipoh dengan dipandu Muallim Zulkifli.Teringat pertanyaan muallim 

" Ha? Antum tak balik Ipoh? Tak balik terus ke atau nanti datang balik?"

..kami memang balik Ipoh selepas itu. Tapi balik untuk mengemas barang. Saya tahu amat berat muallim untuk lepaskan kami tapi mereka redha. Terimbau-imbau sehari terakhir saya di sana untuk menguruskan borang berhenti. Muallim Zulkifili minta untuk berjumpa saya di pejabatnya ditemani dengan Muallimah zaiton..apa yang muallim cakap saya ingat sampai sekarang. InsyaAllah. 



Walaupun hanya sebulan, 30 hari saya di situ...tapi cukup untuk membina kasih buat guru-guru STAM di sana. Juga suasananya. Rutin hariannya memenatkan,tapi saya jadi rindu pula. InsyaAllah, semoga sebulan mendatangkan pengajaran yang mendalam buat saya dalam mengemudi kehidupan yang masih jauh tapi tidak lama ini. 

Semuanya harus saya fikir untuk mencerna sebaiknya hikmah yang terkandung. 
semoga Allah Meredhai kesemuanya dan mengapuskan kesalahan-kesalahan saya dan kita. Ameen~



"Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
(Al-Hajj:64)

:::ShareThis:::

Tanya-tanya.